Kontraktor Sarawak perlu rebut peluang projek SSLR dan LTB, kata Fadillah

Fadillah bergambar bersama peserta Program Pemerkasaan Perniagaan Bumiputera anjuran MINTRED dengan kerjasama DUBS di Pusat Konvensyen CIDB hari ini. 

KUCHING—Kontraktor Sarawak perlu mengambil peluang terlibat sama dengan pembinaan Projek Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB).


Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kedua-dua projek itu, merupakan projek peruntukan besar yang memerlukan penglibatan kontraktor syarikat besar dan juga kecil.



“Dua projek besar ini bernilai kira-kira RM12 bilion dan kita jangkakan pembinaan projek ini bakal bermula pada pertengahan tahun depan, lapor Bernama.


“(Untuk projek ini) kita juga perlu mencari kontraktor yang terlibat dalam pelbagai aspek, termasuk pemasangan kabel elektrik serta lampu jalan,” katanya semasa berucap pada program pemerkasaan perniagaan bumiputera di sini, hari ini.



Pada 7 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kerajaan Persekutuaan telah meluluskan Projek Fasa 2 SSLR serta Projek LTB, dan pembinaannya akan bermula seawal tahun hadapan.


Ismail Sabri berkata penelitian teknikal bagi projek Fasa 2 SSLR dan LTB yang menghubungkan Miri, Limbang serta Lawas itu kini di peringkat akhir, dengan pembinaannya dijangka memakan tempoh selama tiga hingga lima tahun.


Projek itu katanya, bukan sahaja membolehkan penduduk kawasan utara Sarawak menuju ke Sabah melalui dua opsyen jaringan jalan raya, malah memberi manfaat kepada penduduk sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap, yang kini bergantung kepada jalan balak sebagai jalan perhubungan utama.


Sementara itu, Fadillah berkata usahawan bumiputera perlu berusaha untuk membuang persepsi bahawa mereka terlalu bergantung kepada kerajaan semata-mata.


“Kita perlu lihat lebih jauh, kita di negeri Sarawak ini adalah negeri besar dengan sumber banyak, cuma cabaran kita ialah jumlah penduduk tidak ramai dan pasaran terhad. Kita perlu sahut cabaran ini dan wujudkan peluang kita sendiri,” katanya.


Sementara itu program Program Pemerkasaan Perniagaan Bumiputera anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) dengan kerjasama Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) di Pusat Konvensyen CIDB.

Next Post Previous Post