Idea Voon minta rakyat jangan undi GPS karut, selar Fadillah


KUCHING-- Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Fadillah Yusof menempelak Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan berhubung kenyataannya yang meminta rakyat Sarawak untuk tidak mengundi GPS.


Naib Presiden Kanan PBB yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, gesaan Voon agar rakyat Sarawak tidak mengundi GPS bagi melemahkan gabungan itu satu idea putar belit semata-mata.


"Kenyataan beliau (Voon) bahawa Kerajaan Persekutuan yang kuat tidak memberi manfaat kepada Sarawak adalah karut dan langsung tidak masuk akal.


"Apa yang sebaliknya berlaku adalah pencapaian dan rekod prestasi kami sejak pembentukan GPS pada 2018 telah membuktikan bahawa sekumpulan ahli parlimen yang kuat daripada GPS dalam Kerajaan Persekutuan telah membawa kepada lebih banyak faedah kepada Sarawak," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.


Tambah Fadillah, ini mudah difahami semua kecuali Voon sendiri.


"GPS yang kuat bersamaan suara yang lebih kuat untuk Sarawak dalam Kerajaan Persekutuan. GPS yang lemah bersamaan suara yang lebih lemah untuk Sarawak dalam Kerajaan Persekutuan


"Sebilangan besar Ahli Parlimen daripada GPS dalam Kerajaan Persekutuan boleh dan akan membawa suara yang lebih kuat dan lebih tegas dalam tuntutan kami untuk Sarawak dan semua Sarawak," ujarnya.


Sebelum ini, Voon dalam kenyataannya berkata, walaupun mempunyai kerajaan negeri yang sangat kuat, Sarawak masih menerima bajet terendah daripada Kerajaan Persekutuan. 


Jelasnya, keadaan ini telah berterusan selama 59 tahun yang lalu.


"Ini tidak sepatutnya berlaku untuk orang Sarawak kerana betapa kayanya Sarawak. 


"Dalam tempoh 59 tahun yang lalu, kita masih mempunyai Kerajaan negeri yang sangat kuat sekarang atas nama GPS (sebelum ini dikenali sebagai BN Sarawak), walaupun mempunyai kerajaan negeri yang sangat kuat, kita masih menerima bajet terendah daripada Kerajaan Persekutuan," katanya.


Katanya lagi, Sarawak memerlukan suara yang kuat di Parlimen dan itu harus bermula dengan rakyat Sarawak dengan langkah untuk mengundi parti politik Sarawak (bukan GPS) yang bersungguh mengembalikan hak-hak Sarawak kepada kedudukan asalnya sebelum Malaysia ditubuhkan.

Next Post Previous Post