LHDN dapat penghakiman terus saman cukai RM1.05 bilion terhadap Jho Low

LHDN dapat penghakiman terus saman cukai RM1.05 bilion terhadap Jho Low

KUALA LUMPUR— Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk penghakiman terus bagi mendapatkan kembali RM1.05 bilion tunggakan cukai daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.


Pesuruhjaya Kehakiman Kenneth Yoong Ken Chinson St James dalam penghakimannya semalam memutuskan bahawa tidak ada isu yang boleh dibicarakan atau ‘sebab lain’ untuk perbicaraan bagi menentukan tuntutan cukai sebanyak RM1,053,972,936.58 itu.


"Oleh itu, saya membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman sebanyak RM1,053,972,936.58 dengan faedah pada lima peratus setahun dari tarikh penghakiman ini (17 Okt) hingga tarikh realisasi penuh," kata St James yang memerintahkan Jho Low membayar kos RM15,000.


Menurut penghakiman yang diperoleh media, St James memutuskan tuntutan cukai berkanun itu jelas dan mudah setelah defendan (Jho Low) tidak mengemukakan penyata cukai untuk tahun-tahun yang berkaitan dan LHDN mengeluarkan taksiran kepadanya namun tidak dijawabnya.


"Beliau tidak mencabar taksiran itu dan gagal membayar jumlah cukai yang ditaksir," kata Pesuruhjaya Kehakiman itu.


St James berkata pembelaan Jho Low bahawa beliau tidak mempunyai akaun bank di Malaysia sepanjang tahun taksiran (2013 dan 2014) serta tidak menjalankan sebarang perniagaan di Malaysia dalam tempoh dua tahun itu bukan alasan untuk beliau diwajibkan membayar cukai.


"Pada fikiran saya, defendan tidak perlu mempunyai akaun bank di Malaysia untuk diwajibkan membayar cukai. Dalam erti kata lain, tidak mempunyai akaun bank di Malaysia bukanlah pembelaan terhadap tuntutan cukai.


"Begitu juga, Jho Low tidak perlu menjalankan perniagaan di Malaysia untuk diwajibkan membayar cukai. Sebaliknya, tidak menjalankan perniagaan di Malaysia bukanlah pembelaan terhadap tuntutan cukai ini," kata beliau.


LHDN mendakwa Jho Low gagal mengemukakan penyata cukai bagi tahun taksiran 2013 dan 2014 mengikut tarikh akhir berkanun tahunan yang ditetapkan.


Penyata cukai perlu dikemukakan tidak lewat daripada 30 April dalam tahun selepas tahun taksiran. Akibatnya LHDN mengeluarkan Notis Taksiran kepada defendan untuk RM202,575,166.56 bagi 2013 dan RM755,582,048.52 untuk 2014.


Bagaimanapun, Jho Low tidak membayar cukai yang ditaksir dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan.


Akibatnya, kenaikan 10 peratus dikenakan ke atas jumlah cukai yang ditaksir, iaitu RM20,257,516.65 untuk 2013 dan RM75,558,204.85 untuk 2014.


Jumlah cukai yang perlu dibayar untuk 2013 dan 2014 ialah RM1,053,972,936.58.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.