Apa sumbangan PBK, Voon kepada Sarawak?


KUCHING-- "Apa yang boleh Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Presidennya Voon Lee Shan lakukan untuk Sarawak?," kata seorang penulis dalam surat terbukanya yang disiarkan menerusi sebuah blog tempatan hari ini.


Surat yang disiarkan Think Sarawak itu dipetik berkata, tindakan Voon mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah gagal dalam memperjuangkan kepentingan Sarawak menunjukkan ketidakcekapan Presiden PBK itu sendiri.


"Sungguh menyedihkan apabila melihat presiden sebuah parti politik tempatan serta seorang veteran politik mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan ketidakcekapan beliau sendiri untuk memahami dan mengiktiraf usaha kerajaan negeri GPS mengembalikan hak yang terhakis kepada Sarawak.


"Beliau telah merujuk kepada ketidakupayaan untuk memansuhkan undang-undang yang disifatkan merugikan Sarawak seperti Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 74), Akta Laut Wilayah 2012 (TSA 2012) dan Akta Pelantar Benua 2016.


"Tetapi apa yang beliau tidak iktiraf ialah usaha kerajaan GPS untuk mendesak pindaan perlembagaan di mana Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kini menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa awal tahun ini.


"Ini adalah melalui pindaan Perkara 1(2), 160(2), 161A (6), dan 161A (7) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi pengiktirafan yang lebih besar kepada MA63 yang memberikan maruah kepada Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia," ujarnya.


Jelasnya, ini memberi asas kepada Sarawak serta Sabah untuk meneruskan hak-hak lain seperti menuntut perkara yang dijanjikan di bawah MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 direalisasikan.


Tambahnya, dengan senarai panjang pencapaian kerajaan GPS dalam memulihkan hak di bawah MA63, ia menimbulkan persoalan, apakah sumbangan PBK dan seluruh pembangkang tempatan kepada pemulihan hak negeri?


"Walaupun Voon menolak tanggapan bahawa kerajaan persekutuan yang kuat adalah baik untuk Sabah dan Sarawak, ia mesti ditanya, adakah PBK berpendapat bahawa kerajaan persekutuan yang 'lemah' memberi kebaikan kepada kita - kerajaan yang sentiasa dilanda kegawatan dan sentiasa berada di ambang runtuh?


"Atau sebaliknya, adakah Voon dan PBK mahukan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) yang gagal selama 22 bulan yang terdiri daripada DAP, yang dahulunya dianggotainya?


"Perlu diingatkan bahawa pembangkang tempatan dan parti nasionalis seperti PBK, jika memenangi kerusi, ia juga memerlukan mereka bekerjasama dengan parti dari negeri lain untuk membentuk kerajaan persekutuan.


"Dengan PBK tidak mahu apa-apa kaitan dengan Tanah Melayu, ia bermakna ia kekal sebagai pembangkang tidak dapat memberikan sebarang perubahan bermakna kepada rakyat Sarawak," tegasnya.


Soalnya lagi, jika PBK mendapat sokongan rakyat Sarawak, bagaimana pula? Adakah parti itu akan memperjuangkan pemulihan hak yang terhakis melalui pengaruh politiknya dalam kerajaan persekutuan atau akan terus meluahkan keluhannya di media tempatan dan akhbar.


"Apakah hala tuju? Apakah pelan induk? Apakah perubahan yang boleh diberikan oleh PBK? Ini adalah soalan berlarutan yang menuntut jawapan," ujarnya.


Selepas pengumuman pembubaran Parlimen, Voon baru-baru ini dilihat aktif mengkritik kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan menafikan pencapaian yang dicapai GPS sepanjang bersama-sama membentuk kerajaan persekutuan terutamanya berkaitan MA63.

Next Post Previous Post