Anak Sarawak akhirnya sah Warganegara Malaysia


PUTRAJAYA— Perjuangan dua individu untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia iaitu seorang pemuda kelahiran Sabah dan seorang remaja perempuan berakhir hari ini kerana mereka kini diiktiraf sebagai warganegara Malaysia. 


Ia susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan kerajaan untuk kebenaran bagi meneruskan rayuannya bagi menghalang kedua-dua individu itu daripada mendapat kerakyatan Malaysia.


Dalam kes lelaki kelahiran Sabah, Wong Kueng Hui, 27 tahun, panel hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim mendapati permohonan kebenaran untuk merayu oleh ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia tidak memenuhi syarat ambang di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.


Hakim Abang Iskandar yang bersidang bersama hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, berkata sekiranya kebenaran diberikan, peluang untuk berjaya adalah sukar berdasarkan merit.


Wong dilahirkan pada 1995 di Hospital Keningau, Sabah. Bapanya adalah rakyat Sarawak dan ibunya pula dipercayai warga asing. Bapanya meninggal dunia ketika dia berusia 10 tahun manakala ibunya meninggal dunia tujuh tahun kemudian.


Dalam permohonan semakan kehakimannya, Wong berkata dia tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ibunya kecuali beliau berketurunan Indonesia. 


Dia juga turut mendapatkan maklumat dari Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur namun tiada rekod ibunya yang didaftarkan sebagai warganegara Indonesia.


Dia juga membuat pemeriksaan di Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur namun tiada rekod yang menyatakan ibunya mempunyai kerakyatan negara itu.


Wong berjaya dalam permohonannya untuk mendapatkan kerakyatan di Mahkamah Tinggi pada 2019 selepas mahkamah memutuskan dia tanpa kewarganegaraan.


Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendorong ketua pengarah JPN, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia memfailkan kebenaran untuk rayuan.


Sementara itu, panel hakim yang sama turut menolak permohonan sama oleh ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri, ketua pengarah JPN dan kerajaan Malaysia untuk meneruskan rayuan mereka dalam kes seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilahirkan di Perak kepada bapa warganegara Malaysia dan ibunya warga Filipina.


Permohonan remaja itu untuk mendapatkan kerakyatan ditolak kerana dianggap tidak sah taraf kerana perkahwinan ibu bapanya didaftarkan selepas kelahirannya. Bapanya kemudian memperoleh pengisytiharan kesahihan daripada Mahkamah Tinggi pada 2018 untuk mengisytiharkan anak perempuannya sebagai anak sah taraf kepadanya dan isterinya.


Kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang memihak kepadanya dalam permohonannya untuk diisytiharkan sebagai warganegara Malaysia.


Sementara itu, Azimah Hamzah, 35 tahun, yang dilahirkan oleh pasangan Islam dari Kemboja di kem pelarian di Cherating, Pahang, berjaya mendapat kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan supaya mendapat kerakyatan Malaysia, selepas permohonannya ditolak di Mahkamah Tinggi dan Rayuan. 


Azimah yang selama ini menetap di Malaysia menyatakan bahawa dia adalah seorang individu tanpa kerakyatan serta tidak mempunyai kewarganegaraan Kemboja. Dia memohon diberikan kerakyatan automatik di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.


Dia mendakwa kedua-dua ibu bapanya serta empat adik-beradiknya telah mendapat kerakyatan Malaysia.


Hakim Abang Iskandar memberi kebenaran kepada Azimah untuk merayu mengenai satu persoalan undang-undang sama ada anak yang dilahirkan daripada ibu bapa pelarian yang telah memperoleh kewarganegaraan Malaysia layak untuk didaftarkan sebagai warganegara Malaysia seperti yang diperuntukkan di bawah Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.


Panel itu mendengar ketiga-tiga rayuan secara berasingan hari ini melalui dalam talian.


Sepasukan peguam diketuai Haijan Omar mewakili Wong manakala Annou Xavier dan Larissa Ann Louis mewakili remaja perempuan itu dan sepasukan peguam diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram mewakili Azimah.


Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin mewakili kerajaan dalam kes Wong dan remaja tersebut manakala Peguam Kanan Persekutuan Nik Mohd Noor Nik Kar bagi pihak kerajaan dalam kes Azimah.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post