17 laporan, kerugian hampir RM 600,000 pinjaman 'online'

Polis menerima sebanyak 17 laporan kes tipu pinjaman tidak wujud secara online

KUCHING--Polis menerima sebanyak 17 laporan kes tipu pinjaman tidak wujud secara 'online' bagi daerah Padawan dari tempoh 1 Januari hingga 16 Oktober tahun ini melibatkan kerugian dianggarkan bernilai hampir RM600,000.


Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kerugian yang dialami oleh mangsa kes tipu pinjaman tidak wujud merupakan keuntungan penjenayah siber melalui landasan jenayah 'mule account' atau pemilik akaun. 


"Mule account adalah penyumbang kepada kes jenayah siber kerana sindiket penjenayah siber tidak pernah rugi selagi akaun itu dalam kawalan mereka. 


"Jumlah kerugian melibatkan kes tipu pinjaman tidak wujud secara online bagi tahun ini  meningkat sebanyak RM170,000 berbanding kerugian tahun lepas sebanyak RM430,000 melalui 36 laporan yang diterima," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menjelas lanjut, katanya, kebanyakan mangsa berusia antara 20 hingga 55 tahun. 


"Cabaran hidup disebabkan ketidakstabilan ekonomi dan kekangan kewangan merupakan alasan mangsa terjerumus dan terpedaya dengan iklan dan tawaran pinjaman tidak wujud.


"Modus operandi penjenayah pinjaman tidak wujud ialah membuat iklan tawaran pinjaman peribadi secara “online” melalui facebook dengan menawarkan syarat yang menarik dan mudah, tanpa penjamin, kelulusan yang cepat dan tiada had pinjaman," katanya.


Beliau berkata,tanpa sebarang soal selidik, mangsa telah menurut segala arahan penjenayah dengan membekalkan dokumen peribadi dan butir-butir sulit perbankan termasuk membuat bayaran ke 'mule account' yang diberikan oleh penjenayah, kononnya sebagai bayaran deposit, wang proses, wang cagaran dan sebagainya.


"Jenayah mule account berlaku disebabkan kecuaian pemilik akaun itu sendiri kerana telah memberi dan membenarkan pihak ketiga iaitu sindiket penipuan menggunakan nombor akaun miliknya untuk melakukan jenayah siber. 


"Jenayah tipu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala jenayah mule account disiasat mengikut Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1957," katanya.


Abang Zainal menasihatkan orang awam jangan sekali-kali membuat pinjaman peribadi secara online bagi mengelak dari menjadi mangsa tipu pinjaman tidak wujud.


"Penjenayah pinjaman tidak wujud kini semakin berani menawarkan syarat-syarat yang luar biasa tetapi tidak wujud semata-mata.


"Kita nsihatkan agar masyarakat jangan mudah terpedaya dengan tawaran iklan pinjaman peribadi secara online kerana tawaran tersebut sebenarnya tidak wujud, pinjamlah daripada syarikat institusi kewangan, koperasi atau syarikat pemberi pinjam wang berlesen," katanya.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.