Sarawak perlu pastikan hak sentiasa dilindungi di Parlimen, Abang Johari

Sarawak berbincang dengan Kerajaan Persekutuan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sambutan Hari Malaysia peringkat Negeri Sarawak 2022
Tun Taib sempurnakan gimik sambutan sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2022. Gambar kredit Japen Sarawak

BINTULU— Sarawak melahirkan kesyukuran kerana kini sudah mempunyai ruang untuk berbincang sebagai sebuah keluarga dengan Kerajaan Persekutuan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata bukan saja ruang sudah ada untuk tujuan itu malah sebuah kementerian yang khusus untuk melihat dan memperbetulkan kepincangan mengenai pelaksanaan MA63 seperti yang diinginkan oleh rakyat Sarawak dan Sabah telah ditubuhkan.


Sebahagian daripada ribuan warga Bintulu yang hadir memeriahkan Sambutan Hari Malaysia peringkat Negeri Sarawak 2022. Gambar kredit Japen Sarawak

Minggu lalu, mesyuarat mengenai MA63 yang antara lain membincangkan mengenai komposisi ahli Parlimen bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan matlamat untuk memastikan ada keseimbangan dari segi jumlah kerusi Parlimen antara ketiga-tiga wilayah ini di mana Sarawak dan Sabah seharusnya mempunyai 35 peratus daripada kerusi Parlimen. 


“Kami di Sarawak dan Sabah perlu memastikan hak dan keistimewaan kami sentiasa dilindungi di Parlimen dan keinginan sesetengah pemimpin persekutuan tidak dikenakan ke atas kita sehingga merugikan kita,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sarawak yang telah dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, di sini, malam ini. 


Menurut Abang Johari, buat masa ini Sarawak dan Sabah hanya mempunyai 56 wakil rakyat di peringkat Parlimen atau kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan 222 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.


Walaupun Sarawak memiliki jumlah penduduk yang agak kecil namun beliau berkata negeri itu wajar mempunyai lebih banyak lagi kerusi Parlimen memandangkan pengwujudan sesebuah kawasan Parlimen tidak semata-mata berasaskan jumlah penduduk sebagaimana sistem Wesminster United Kingdom yang diamalkan di Malaysia.


“Malah di UK, perwakilan di Parlimen tidak berdasarkan jumlah penduduk tetapi juga pada saiz kerusi tertentu. Sekiranya kerusi itu dianggap hanya berdasarkan populasi maka tempat terpencil dengan penduduk yang berselerak seperti Ulu Baram, Belaga dan Ulu Rajang tidak akan layak mendapat wakil rakyat, yang tidak berlaku seperti yang kita ketahui," katanya.


Beliau berkata banyak isu lain turut dibincang pada mesyuarat tersebut termasuk mengenai status semasa dan hala tuju mengenai isu-isu kesihatan di Sarawak dan Sabah seperti pusat kesihatan dan klinik yang usang di kawasan luar bandar dan pedalaman yang harus dibaik pulih atau dibina semula.


"Saya amat berharap Kerajaan Persekutuan akan memberi perhatian serius kepada isu-isu kesihatan khususnya di Sarawak dan menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk tujuan ini agar rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik," katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.