Ibu saudara, suami ditahan dera dua kanak-kanak



KUALA LUMPUR—Polis menahan sepasang suami isteri kerana disyaki mendera dua anak saudaranya di sebuah kondominium di Taman Cahaya, Ampang, di sini, petang tadi.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kedua-dua suspek, yang masing-masing berusia 29 dan 33 tahun itu ditahan pada kira-kira 6 petang tadi.



Beliau berkata suspek wanita berkenaan merupakan adik kepada ibu kandung mangsa dan telah menjaga dua adik-beradik itu sejak dua tahun, selepas bapa kandung kepada kanak-kanak itu meninggal dunia.


Menurut Mohamad Farouk, ibu kandung kanak-kanak berkenaan tidak mahu menjaga mereka dan menyerahkannya kepada suspek untuk penjagaan.



“Selain itu, polis turut mengesan adik kepada mangsa lelaki iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang juga mempunyai kesan kecederaan lebam di bahagian kaki, tangan dan belakang badan juga dipercayai akibat penderaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.


Beliau berkata kanak-kanak lelaki berkenaan didapati mempunyai kesan lebam di bahagian belakang badan, kaki dan tangan dipercayai akibat didera.



Mohamad Farouk berkata suspek wanita itu tiada pekerjaan dan rekod jenayah lampau, manakala suaminya merupakan pemandu grab dan mempunyai satu rekod jenayah lampau.


“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek didapati negatif daripada sebarang jenis dadah. Kedua-dua mangsa telah dirujuk ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan oleh pegawai perubatan dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah dimaklumkan untuk tindakan penjagaan mangsa. 


“Kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Ampang pada esok untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.


Mohamad Farouk berkata kes ini disiasat di bawah seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana telah menganiayai kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.


Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang berada seorang diri di dalam rumah cuba terjun dan melarikan diri dari tingkap sebuah kondominium tingkat empat.


Susulan itu, bomba berjaya menyelamatkan mangsa dengan memecah masuk ke dalam rumah dengan bantuan pihak polis.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post