Sabah maksimumkan teknologi, inovasi tingkat sektor minyak sawit

Datuk Seri Hajiji Noor

KOTA KINABALU— Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan Sabah akan memaksimumkan penggunaan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan produktiviti, daya saing dan pembangunan dalam sektor minyak sawit. 


Beliau yang berucap pada Pameran dan Seminar Pemindahan Teknologi (TOT) Sabah di sini hari ini, berkata, kemajuan dan penambahbaikan infrastruktur serta insentif kerajaan dalam sektor minyak sawit mampu menyediakan peluang perniagaan yang sangat baik kepada pemain industri untuk menceburi sektor hiliran.


Beliau berkata, Sabah mempunyai sembilan kilang penapisan minyak sawit dengan kapasiti pemprosesan sebanyak 7.48 juta tan setahun, manakala dua kilang biodiesel berkeupayaan untuk mengeluarkan 300,000 tan biobahan api setahun.


Selain itu, kerajaan negeri juga telah membangunkan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Sandakan dan Lahad Datu.


“Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan, Indonesia juga akan membantu meningkatkan ketersambungan dan kecekapan dari segi pengangkutan termasuklah untuk produk-produk kelapa sawit.


“Di samping itu, pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur akan turut mewujudkan limpahan ekonomi ke Sabah,” katanya.


Sehubungan itu, Hajiji berkata kerajaan Sabah telah memperuntukkan RM65.97 juta kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian, termasuk Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan untuk memperkasakan pembangunan sektor perindustrian negeri.


Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, sebanyak RM116.67 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah untuk menampung keperluan pembangunan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, POIC Lahad Datu dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang.


Dalam perkembangan yang sama, Hajiji berkata kerjasama antara kementerian dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam menganjurkan TOT Sabah 2022 memberi peluang kepada usahawan dan pelabur untuk mengkomersialkan sektor hiliran minyak sawit.


Peluang yang ditawarkan termasuklah formulasi produk-produk makanan, produk oleokimia dan biojisim, serta tenaga hijau yang dihasilkan menerusi kilang penapisan.


“Saya yakin penglibatan syarikat tempatan dalam mengkomersialkan teknologi industri minyak sawit akan menjana pendapatan dan menyumbang kepada pembangunan industri secara keseluruhan,” katanya.


Hajiji menambah, pembangunan kilang oleokimia boleh menghasilkan potensi besar dalam pembangunan sektor hiliran memandangkan tiada kilang seumpama itu di Sabah dan Sarawak pada masa ini.


Selain daripada tidak mempunyai pesaing di Sabah, pelabur dalam sektor oleokimia juga dijamin boleh mendapatkan bekalan bahan mentah yang konsisten dalam bentuk minyak sawit yang lebih mesra alam pada kos yang lebih kompetitif berbanding bahan mentah lain, terutamanya petrokimia, kata beliau.


Beliau juga memberitahu bahawa dua syarikat yang berpangkalan di Sabah telah bekerjasama dengan MPOB untuk mengeluarkan produk berasaskan nilai tambah kelapa sawit.


Usaha sama antara MPOB dan Sabah Softwoods Hybrid Fertilizer Sdn Bhd itu bertujuan menghasilkan pengeluaran baja bio GanoEF untuk mengawal penyakit Ganoderma pada pokok kelapa sawit.


Satu lagi ialah usaha sama antara MPOB dan Konsortium Koperasi Penanam Kelapa Sawit Lestari Sabah untuk mengkomersialkan teknologi produk pembersihan berasaskan kelapa sawit yang pertama di Sabah.


“Ini membuka peluang dalam pembangunan dan industri oleokimia melalui penghasilan elemen asas untuk produk pembersihan dan penjagaan diri bagi pasaran tempatan dan eksport,” katanya.


Hajiji menambah, kerajaan Sabah sentiasa terbuka kepada pelabur dalam dan luar negara, serta mereka yang berminat untuk mewujudkan perkongsian menang-menang di antara sektor awam dan swasta, khususnya dalam mengkomersialkan teknologi berkaitan kelapa sawit.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post