Pensyarah universiti didakwa buat tuntutan palsu

Pensyarah sebuah universiti awam didakwa

KUALA LUMPUR— Seorang pensyarah sebuah universiti awam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan membuat tuntutan palsu, membabitkan bayaran sewa kenderaan dan pembelian peralatan geologi berjumlah RM12,488, empat tahun lepas.


Jasmi Hafiz Abdul Aziz, 45, mengaku tidak bersalah, selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.


Mengikut tujuh pertuduhan, lelaki itu sebagai pensyarah kanan didakwa memperdayakan Jabatan Bendahari, Universiti Malaya (UM) dengan menggunakan tujuh tuntutan perjalanan palsu berkenaan bayaran sewa tiga jenis kenderaan antara 24 April 2018 hingga 29 Julai 2019, sedangkan sewaan itu tidak dibuat.


Bapa kepada seorang anak itu juga didakwa atas dua pertuduhan memperdayakan Jabatan Bendahari, UM dengan membuat dua resit palsu berkaitan pembelian peralatan geologi bertarikh 19 Jan 2019 dan 23 Mac 2019, sedangkan pembelian tidak dibuat.


Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Jabatan Geologi, Fakulti Sains, UM, antara 29 Mei 2018 hingga 23 Ogos 2019, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 (1) akta sama. 


Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Sementara itu, Jasmi Hafiz mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan pilihan iaitu menggunakan tujuh resit bayaran sewa tiga kenderaan yang sama dan dua resit membeli peralatan serupa sebagai tulen, sedangkan dia mengetahui resit itu palsu.


Beliau didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di lokasi dan tarikh sama, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Abd Muntaqim Abdul Aziz mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi.


Peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang masih berkhidmat sebagai pensyarah, menanggung isteri serta seorang anak dan telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan.


Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi dalam kes berkenaan.


Mahkamah menetapkan 18 Okt untuk sebutan semula kes.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.