Adik maut dilibas abang guna parang sabit

Gambar hiasan


PADAWAN--Seorang adik maut selepas dilibas abangnya menggunakan parang sabit dalam satu pergaduhan di hadapan rumah Jalan Landeh Batu 10 di sini, semalam.



Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa berusia 49 tahun meninggal dunia akibat pendarahan yang banyak.


Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, abangnya yang juga suspek berusia 60 tahun, didatangi adiknya dengan membawa senjata berupa sebilah sabit dalam keadaan marah-marah dan disyaki dalam keadaan dipengaruhi oleh alkohol.


Menurutnya, adiknya terlebih dahulu cuba menyerang abangnya tetapi senjata terbabit kemudiannya berjaya dirampas dan suspek telah melibas kembali senjata tersebut sehingga menyebabkan betis sebelah kiri mangsa mengalami kecederaan dan darah keluar dengan banyak. 


"Mangsa segera balik ke rumahnya yang hanya bersebelahan sahaja dan telah dihantar oleh emak kandung mereka ke Hospital Umum Sarawak(HUS) untuk mendapat rawatan.


"Suspek pula telah bergegas ke balai polis Batu 10 Padawan membuat laporan menyatakan bahawa dia cuba diserang oleh mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya,ketika keterangan suspek sedang diambil, pegawai penyiasat kes pihak HUS memaklumkan mangsa yang cedera iaitu adik kepada suspek telah meninggal dunia.


"Berikutan kematian itu, tangkapan telah dilakukan ke atas suspek yang pada masa itu berada di Balai Polis Kota Sentosa. 


"Siasatan yang dilakukan mendapati bahawa tiada sebarang kecederaan yang lain melainkan kesan luka di bahagian betis tepi kaki kiri berdekatan dengan lutut mangsa," katanya.


Beliau berkata, suspek telah membuang senjata yang digunakan di kawasan semak berdekatan dengan rumahnya.


"Permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Kuching pada jam 9 pagi tadi, sebaik sahaja reman diperolehi, usaha akan disambung bagi mendapatkan barang kes yang telah dibuang.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan," katanya.
Next Post Previous Post