Kertas putih kesihatan Sarawak dibentang di Parlimen Nov ini

Datuk Dr Noor Azmi Ghazali

PUTRAJAYA— Lebih banyak sesi libat urus dengan pihak berkepentingan di peringkat negeri akan diadakan bagi pembangunan Kertas Putih Kesihatan (HWP) ke arah reformasi sistem kesihatan negara, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.


Beliau berkata setakat ini sesi libat urus telah diadakan di Sabah dan Sarawak dan akan diperluas ke negeri lain dengan diketuai Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum dibentangkan di Parlimen November ini.


Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 peringkat Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini, Dr Noor Azmi berkata berdasarkan sesi libat urus sebelum ini, terdapat pelbagai cadangan dan teguran yang diterima daripada pemegang taruh bagi meningkatkan perkhidmatan KKM dari pelbagai sudut.


“KKM mahu Kertas Putih Kesihatan menjadi pemikiran rakyat. Ia telah difikirkan sejak 30 tahun dahulu dan masih belum jadi kenyataan dan kali ini, ia adalah hasrat KKM untuk melakukan reformasi besar dalam bidang kesihatan negara,” katanya.


Beliau berkata pandemik COVID-19 telah ‘membuka mata’ KKM untuk membangunkan HWP secara serius agar perkhidmatan kesihatan negara mampan pada masa akan datang.


 
Satu Majlis Penasihat HWP telah ditubuhkan pada 10 Ogos lepas yang bersidang kali pertama pada 30 Ogos dan telah menggariskan cabaran serta kekangan dihadapi sistem kesihatan negara ketika ini, sebagai persediaan bagi pembangunan HWP.


HWP dipengerusikan secara bersama bekas Menteri Kesihatan Tan Sri Dr S.Subramaniam dan Pengerusi Kumpulan AXIATA Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan.


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata pembangunan HWP bertepatan pada masanya bagi merealisasikan sistem kesihatan Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam mendepani cabaran tahun-tahun mendatang.


Dalam perkembangan lain, Dr Noor Azmi meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi bahawa KKM memberi ‘layanan istimewa’ kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).


“Kita akan beri layanan terbaik dari segi aspek kesihatan kepada semua rakyat Malaysia, sebab itu tanggungjawab KKM, tiada pilih kasih dari segi bangsa, agama dan pangkat,” katanya mengulas komen warga net berhubung isu layanan istimewa terhadap Najib.


Khairy pada Selasa lepas (12 Sept) dilaporkan berkata keadaan kesihatan Najib yang dimasukkan ke HKL pada Isnin (11 Sept) adalah stabil dan beliau akan terus menerima rawatan di hospital berkenaan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post