Guru besar buat laporan polis, nafi keluar kenyataan murid hampir diculik

Guru besar menafikan seorang murid hampir menjadi mangsa culik yang tular di media sosial


KUCHING-- Guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 10  menafikan beliau mengeluarkan kenyataan berhubung seorang murid tahun satu sekolah itu hampir menjadi mangsa culik yang tular di media sosial semalam.


Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, Hiew Siaw Chew,58, tampil membuat laporan polis terhadap  Cats FM dan juga Samarahan Edition yang menyiarkan berita itu di laman facebook.


"Pada jam 4.30 petang guru besar itu  diberitahu oleh guru sekolahnya menyatakan terdapat kenyataan di laman facebook  menyatakan seorang murid tahun satu sekolah itu nyaris menjadi mangsa culik dekat perhentian bas di hadapan sekolah berkenaan sekitar jam 1 tengah hari.


"Dia(guru besar) menafikan kejadian culik itu dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang telah dimuat naik dalam laman facebook terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, guru besar itu kemudiannya tampil membuat laporan polis untuk menafikan penglibatannya serta mahu kenyataan itu tidak disebarkan lagi kerana ia tidak berasas. 


"Laporan dibuat untuk keselamatan diri dan untuk rujukan Pejabat Pendidikan Daerah Padawan.

"Kenyataan yang dimuat naik itu turut menyatakan bahawa guru besar di sekolah itu telah mengeluarkan kenyataan pengesahan perkara terbabit," katanya.


Abang Zainal Abidin berkata, pengadu menafikan pernah memberikan sebarang maklumat berkenaan kes seperti itu kepada sesiapa lebih-lebih lagi kepada pengamal media


"Semakan yang dilakukan mendapati bahawa kenyataan itu dibuat berdasarkan kepada fakta yang tidak nyata, hanya didengari secara verbal daripada beberapa individu dan dipercayai telah ditokok tambah. 


"Akibat kenyataan itu telah mendatangkan kebimbangan serta kegusaran di kalangan masyarakat awam," tegasnya.


Beliau berkata, pihak polis akan mendapatkan bantuan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia(SKMM) dan mendapatkan keterangan daripada bahagian penyiaran bagi laman sosial Cats FM dan juga Samarahan Edition.


Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.