Notification

×

Iklan

Iklan

Jenayah seksual kanak-kanak tanpa sentuhan fizikal meningkat - Bukit Aman

| September 27, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-09-27T01:47:25Z

KUALA LUMPUR— Peningkatan akses kanak-kanak terhadap telefon pintar dan Internet dibimbangi akan menyebabkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang tidak melibatkan sentuhan fizikal seperti penyebaran video dan gambar lucah semakin serius pada masa hadapan.


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak ACP Siti Kamsiah Hassan berkata pihaknya kini kerap menerima laporan mengenai penyebaran gambar dan video lucah membabitkan mangsa kanak-kanak.


Beliau berkata faktor pendorong seperti kemajuan teknologi maklumat, gaya hidup dan Internet membuatkan jenayah mudah berlaku, tambahan pula kanak-kanak kini mempunyai akses yang meluas terhadap telefon bimbit dan Internet.


“Melalui dalam talian pemangsa akan menjalinkan ‘hubungan istimewa’ dan kemudian meminta gambar dan video bogel mangsa, video dan gambar ini akan tersebar apabila mangsa tidak lagi mahu meneruskan hubungan berkenaan.


“Jenayah sharing, grooming, minta gambar dan video bogel dan lucah ini saya jangka akan menjadi trend pada masa akan datang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.


Siti Kamsiah berkata pada 2020, pihaknya menerima 24 laporan polis melibatkan jenayah itu yang disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, dan tahun lepas jumlah itu meningkat kepada 35 manakala sebanyak 11 laporan polis diterima dalam tempoh Januari hingga April tahun ini.


“Untuk memadamkan sesuatu gambar atau video lucah kanak-kanak yang telah disebarkan di Internet bukan kerja yang mudah kerana hal ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi antaranya Polis Antarabangsa (Interpol).


“Gambar dan video ini terlebih dahulu akan dimasukkan dalam sistem Interpol dan satu pemberitahuan akan dikeluarkan kepada negara-negara yang berkongsi sistem berkenaan untuk mengesan sekiranya ada penularan gambar atau video berkenaan di negara mereka, jika ada ia perlu diturunkan,” katanya.


Siti Kamsiah berkata pihaknya juga akan memaklumkan kepada pentadbir media-media sosial untuk turunkan gambar atau video berkenaan sekiranya ada, namun bergantung kepada penilaian pentadbir.


Menurutnya, orang ramai juga boleh membuat laporan terus kepada Internet Watch Foundation iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa.


“Ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu mengenai keselamatan ketika bersosial atau berkawan sebagai persediaan untuk mengelakkan anak-anak mereka menjadi mangsa jenayah itu.


“Kita perlu mengajar anak-anak adab bergaul, batas-batas pergaulan, apa yang boleh dikongsi, apa yang tidak boleh dikongsi seperti hal peribadi, tubuh badan. Permantauan oleh ibu bapa juga penting dan anak itu sendiri perlu mempunyai kawalan kendiri untuk mengelak dia daripada menjadi mangsa jenayah,” katanya.


Siti Kamsiah berkata jenayah seksual terhadap kanak-kanak bukan satu isu yang kecil kerana di negara ini hampir 60 peratus mangsa jenayah seksual ialah golongan itu.


Menurut data yang diperoleh pada 2020, sebanyak 4,274 mangsa jenayah seksual antaranya melibatkan kes seperti rogol, rogol berkumpulan, sumbang mahram, seks luar tabii dan cabul direkodkan dengan 2,567 daripadanya merupakan mangsa kanak-kanak.


"Pada tahun lepas, terdapat 4,031 mangsa jenayah seksual dan 2,234 daripadanya ialah kanak-kanak dan bagi empat bulan pertama tahun ini direkodkan sebanyak 1,201 mangsa dengan 677 orang terdiri daripada kanak-kanak.


“Angka hampir mencecah 60 peratus itu merupakan sesuatu yang patut diambil serius kerana kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual mengalami pelbagai kesan dari sudut kesihatan mental dan psikologi,” katanya.


Siti Kamsiah berkata kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual berpotensi mengalami masalah psikologi seperti kebimbangan, ketakutan, sentiasa berada dalam keadaan marah dan berkelakuan ganas.


“Mangsa-mangsa ini juga dikhuatiri mempunyai fungsi sosial yang lemah, masalah pembelajaran, kemurungan, terjebak dalam penyalahgunaan dadah dan alkohol dan revictimization (kemungkinan akan menjadi pemangsa apabila dewasa atau terus menjadi mangsa),” katanya.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update