9 ditahan bergaduh di pusat hiburan

 

BUKIT MERTAJAM—Sembilan lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di sebuah pusat hiburan di Bukit Tengah di sini, pada Ahad lepas.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Tan Cheng San berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pergadugan itu pada 1.43 pagi membabitkan sekumpulan lelaki sehingga menyebabkan beberapa individu mengalami kecederaan.


"Dalam kejadian tersebut beberapa lelaki mengalami kecederaan akibat dipukul dengan objek tajam dan ekoran itu, pihak polis yang ke pusat hiburan berkenaan berjaya menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan.


"Semua lelaki tempatan berusia 17 hingga 32 tahun yang ditahan itu turut mengalami kecederaan dan mereka telah dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata siasatan awal mendapati punca pergaduhan kerana perselisihan faham sehingga berlaku insiden pukul memukul antara satu sama lain.


Menurutnya, kesemua mereka direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post