Fasa 1 SSLR siap 2026, kemudahan jalan raya lebih baik di utara Sarawak


MIRI--Penduduk di Bahagian Limbang dan Lawas di utara Sarawak akan menikmati kemudahan jalan raya yang lebih baik apabila Projek Membina Sarawak- Sabah Link Road Lawas(SSLR) Fasa 1- persimpangan Long Lopeng dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2026.


Pengarah Kerja Raya Sarawak, Ir. Richard ak Tajan berkata,projek fasa pertama itu melibatkan jajaran jalan bermula dari persimpangan Long Lopeng sepanjang 77KM. 


 

"Dengan wujudnya jalan raya ini kelak akan membolehkan kawasan pedalaman memiliki perhubungan yang baik dan selamat," katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak berkenaan semalam.


Lawatan itu turut disertai Ketua Unit, Lebuhraya Pan Borneo, JKR Sarawak,Ir. Awg. Mohd. Fadillah Awg. Redzuan, Pengurus Projek SSLR (Fasa 1), JKR Sarawak, Ir. Christopher George, Jurutera Bahagian Limbang, Mahathir Jokeni, pegawai-pegawai dari ibu pejabat JKR Sarawak serta kontraktor dan Konsultan.


Menjelas lanjut, Richard meminta pihak kontraktor dan konsultan terus komited dalam menjalankan tanggungjawab melaksanakan projek ini dengan lancar dan berkesan. 


"Saya percaya projek ini dapat dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan," ujarnya.


Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kerajaan Persekutuan meluluskan Projek Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) serta Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) dengan pembinaannya akan bermula seawal tahun depan.


Beliau berkata, penelitian teknikal bagi projek Fasa 2 SSLR dan LTB yang menghubungkan Miri, Limbang serta Lawas itu kini di peringkat akhir dengan pembinaannya dijangka mengambil masa selama tiga hingga lima tahun.


Menurutnya,projek itu bukan saja membolehkan penduduk kawasan utara Sarawak menuju ke Sabah melalui dua opsyen jaringan jalan raya, malah memberi manfaat kepada penduduk sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba'kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada jalan balak sebagai laluan perhubungan utama.


"Pengguna dari Miri ke Limbang dan Lawas boleh melalui Brunei menggunakan laluan projek LTB sepanjang 96 kilometer (km) yang bakal ditambah baik kepada dua lorong untuk perjalanan dua hala.


"Bagi mereka yang tidak mahu melalui Brunei, boleh menggunakan jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326km yang juga kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sepanjang 77km," katanya 


Ismail Sabri berkata, projek membabitkan kos RM10.62 bilion itu bakal membolehkan komuniti dan penduduk di Miri, Limbang dan Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa.

Next Post Previous Post