Senapang patah, peluru hilang, 3 suspek diberkas


SIBU--Polis berjaya menjumpai semula selaras senapang patah, 12 butir peluru, pua kumbu serta aksesori pakaian tradisional Iban yang dilaporkan hilang selepas sebuah kediaman di Sibu Jaya di sini, dipecah masuk pada 13 Ogos lalu dengan tertangkapnya tiga suspek lelaki.


Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) telah berjaya menangkap seorang lelaki warganegara tempatan berusia 30 tahun, pada jam 11.35 pagi, Selasa lalu.


Menurutnya,susulan tangkapan berkenaan membawa kepada dua lagi tangkapan dua lelaki berusia 45 dan 54 tahun yang bertindak sebagai pembeli barang curi.


"Pihak polis berjaya menjumpai dan merampas kesemua barang yang dilaporkan hilang oleh pengadu.


"Dalam kejadian pada jam 10.16 malam itu, satu laporan polis telah diterima di balai Polis Sungai Merah," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun melaporkan rumahnya di Sibu Jaya dipecah masuk pencuri ketika dia bersama keluarganya bercuti ke Miri.


"Barang-barang yang hilang ialah selaras senapang patah jenis SBBL 12 Bore, 12 butir peluru, perhiasan rumah pua kumbu serta aksesori pakaian tradisional Iban dengan anggaran kerugian sebanyak RM 2,000.


"Ketiga-tiga suspek telah ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


"Dengan tangkapan ini, pihak polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes pecah rumah di kawasan Sibu Jaya," tegasnya.

Next Post Previous Post