Eksport sawit negara cecah RM71.02 bilion, Willie Mongin

Willie melawat pameran yang di adakan sempena Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit 2022 di Miri hari ini. Gambar kredit MPOB  


MIRI— Pendapatan eksport produk sawit negara melonjak kepada RM71.02 bilion dengan 14.05 juta tan dicatatkan dalam enam bulan pertama 2022, daripada RM45.75 bilion dengan 11.54 juta tan yang direkodkan pada tempoh yang sama 2021.


Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin untuk tempoh setahun penuh 2021, sebanyak 25.44 juta tan minyak sawit telah dieksport ke lebih 160 negara dan ini menyumbang kepada pendapatan eksport Malaysia berjumlah RM108.52 bilion.


“Ini berikutan permintaan yang tinggi dari negara-negara pengimport dan kenaikan harga minyak sawit yang tinggi dalam pasaran,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit 2022 di sini, pada Selasa.


Beliau berkata sebagai komoditi pertanian yang berorientasikan pasaran eksport, sawit berdepan dengan pelbagai cabaran yang boleh menggugat perdagangannya ke luar negara.


“Adalah penting untuk semua pihak dalam industri berusaha dan bekerjasama menangani cabaran ini seterusnya akan menjadikan industri sawit negara lebih matang dan berdaya saing,” katanya.


Willie berkata penggunaan teknologi dalam sektor perladangan sawit, selain amalan pertanian baik dan pengeluaran mampan dapat memberikan impak peningkatan hasil dan pengukuhan daya saing industri.


Beliau berkata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menghasilkan pelbagai teknologi yang boleh digunakan pihak industri dan pekebun kecil untuk meningkatkan hasil keluaran mereka.


Penggunaan mesin penuai buah sawit bermotor atau CANTAS yang dibangunkan oleh MPOB telah meningkatkan hasil tuaian melebihi 100 peratus apabila 8.7 tan boleh dituai dalam sehari berbanding 3.6 tan sehari dengan kaedah manual, katanya.


Beliau berkata kerajaan turut menggalakkan pekebun kecil sawit untuk terlibat dalam amalan integrasi tanaman dan ternakan menerusi skim-skim insentif bernilai sehingga RM7,000 sehektar untuk tanaman dan RM15,000 untuk ternakan.


Pekebun-pekebun kecil ini turut disarankan bergabung dalam Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) yang membolehkan mereka mendapat bantuan pembiayaan kerajaan bagi membantu usaha tani mereka, katanya.


Kira-kira 500 pekebun kecil sawit menyertai persidangan dua hari sehingga esok anjuran MPOB di sini.


--BERNAMA

Next Post Previous Post