-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Polis rampas syabu lebih RM8 juta, tahan tujuh lelaki

| September 20, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-09-20T08:57:43Z
Datuk Yahaya Othman semasa sidang media di sini hari ini.

KUALA LUMPUR— Polis merampas 263.88 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM8.53 juta dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Segambut di sini Sabtu lepas, sekali gus menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi warga tempatan.


Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata semua dadah itu ditemukan di dalam 226 bungkusan dan polis turut menahan seorang lelaki di pangsapuri berkenaan.


Beliau berkata hasil serbuan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, menahan enam lagi lelaki menerusi serbuan di beberapa negeri.


“Tiga suspek ditahan di Perak, dua di Pulau Pinang manakala satu di Selangor.


“Sindiket yang dianggotai suspek berusia lingkungan 24 hingga 47 tahun aktif sejak Julai lalu dan ketujuh-tujuh mereka direman tujuh hari sehingga Sabtu ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.


Beliau berkata empat daripada yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan awal mendapati lima daripadanya positif dadah.


Yahaya berkata empat kenderaan masing-masing jenis Toyota Alphard, Ford Ranger, Perodua Axia dan Perodua Bezza, bernilai RM424,750 turut disita daripada suspek.


Beliau berkata dadah yang dirampas diperolehi dari utara Semenanjung, sebelum dihantar ke ibu negara untuk diedarkan kepada pembeli di sekitar Lembah Klang secara bersemuka dan dipercayai boleh digunakan oleh 473,760 penagih.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update