Bintulu diambang “Gelombang Kedua”


BINTULU, Sabtu: Bintulu dijangka akan mengalami “gelombang kedua” pembangunan sebagai sebuah bandar industri dalam tempoh lapan tahun akan datang, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Zohari Tun Abang Haji Openg pada Jumaat.


Beliau melahirkan keyakinan ini akan berlaku dengan pengembangan aktiviti perindustrian di Tanjung Kidurong dan Samalaju, dan perluasan Bintulu ke kawasan Jepak. 


 

“Melalui perlaksanaan program untuk membangunkan Bintulu ke arah menjadi hab petrokimia dengan kolaborasi antara Kerajaan Negeri dengan Petronas dan disokong oleh para pelabur dari dalam dan luar negara. 


“Dengan kata lain, sumber minyak dan gas Sarawak akan ditambah nilai supaya terbentuk “value chain” untuk menjana ekonomi yang lebih menyeluruh dan mempertingkatkan manfaat kepada Bintulu dan Sarawak keseluruhannya,” ujar beliau ketika berucap sempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia Ke-59 Peringkat Sarawak di sini. 


Beliau berkata Sarawak tidak berpuas hati dengan hanya mengeksport bahan mentah tanpa melalui pemprosesan di dalam negeri.


Proses menambah nilai bahan mentah dari Sarawak pada kebiasaannya dilakukan di luar negara yang mendatangkan kerugian kepada ekonomi Sarawak, ujar beliau lagi.


Inilah yang menyebabkan purata pendapatan isi rumah di Sarawak lebih rendah daripada purata kebangsaan  walaupun Sarawak kaya dengan sumber kerana tidak terdapat rantaian nilai untuk menjana ekonomi, jelas beliau.


“Sarawak tidak dapat bergantung sepenuhnya kepada eksport gas cecair asli (LNG) untuk menjana pendapatan negeri, dan oleh itu hendaklah diambil langkah untuk mempastikan sumber diproses di dalam negeri untuk menggandakan saiz ekonomi daripada  RM136 bilion kepada RM282 bilion supaya mampu menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030,” kata beliau kepada 10,000 rakyat yang hadir. 


Beliau berkata langkah pertama ke arah penghiliran industri minyak dan gas di Tanjung Kidurong ialah pembinaan sebuah loji pengeluaran methanol kepunyaan Sarawak yang sedang giat berjalan sekarang ini. 


Untuk menyokong langkah ini, Petronas akan membina kemudahan penyaluran gas kedua di Tg Kidurong untuk membekalkan gas sehingga 1,200 MMscfd (million standard cubic feet per day) kepada loji methanol tersebut dan juga stesen janakuasa gas pihak SEB, kata beliau lagi. 


“Pembinaan loji methanol pertama di Tg Kidurong yang dimiliki oleh Petchem Sarawak sekarang ini 66 % siap dan dijangka akan memulakan operasi pada awal 2024 untuk mengeluarkan methanol yang boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai bahan derivatif. Ini mungkin akan diikuti oleh loji kedua jika perundingan antara Petchem dan kontraktor berjaya, Insyallah,” ujar beliau. 


Beliau berkata Bintulu juga akan menjadi pusat pengeluaran gas hidrogen dengan terlaksananya projek pengeluaran hidrogen yang diusahakan oleh konsortium tiga pelabur besar dari Korea Selatan yang disokong dan dibiayayi oleh Kerajaan Korea. 


“Baru-baru ini saya berada di Korea untuk mengetuai rombongan yang memetrai MOU bagi pembekalan tenaga elektrik kepada projek tersebut yang dinamakan Projek H2biscus yang memerlukan sehingga 900 MW tenaga elektrik dari sumber yang boleh diperbaharu, terutamanya daripada hidro,” kata beliau


Beliau juga berkata gas hidrogen yang bakal dihasilkan sebagai bahan bakar hijau akan dibeli balik oleh pihak Korea, terutamanya industri keluli kerana mereka perlu mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil yang mengeluarkan gas karbon dioksida yang memudaratkan iklim dunia. 


Bintulu juga akan menyaksikan Petronas dan Shell membina dua buah loji untuk memproses “sour gas” atau gas asli yang mengandungi banyak hydrogen sulphide yang disalurkan dari medan gas di luar pantai Sarawak, tambah beliau. 


Beliau percaya bahawa Shell telah melihat potensi yang besar untuk dimajukan di Sarawak yang telah mendorong syarikat tersebut untuk memindahkan ibu pejabat huluannya atau upstream headquarters dari Kuala Lumpur ke Miri.

Next Post Previous Post