Lelaki uji jet ski dilaporkan hilang di perairan dekat Pulau Talang-Talang

Gambar hiasan

KUCHING-- Seorang lelaki dilaporkan hilang semasa melakukan pandu uji jet ski di perairan berdekatan Pulau Talang-Talang, Lundu petang semalam. 


Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damatarius Lautin berkata, berdasarkan laporan yang dibuat daripada rakan mangsa, mangsa yang dilaporkan hilang dikenali sebagai Lee Chong Loong. 


Jelasnya, mangsa bersama seorang rakannya melakukan pandu uji jet ski sekitar jam 2 petang semalam dari sebuah jeti du Santubong, masing-masing menaiki jet ski secara berasingan. 


"Mereka telah menuju ke Pulau Satang dan mengeliling kawasan pulau berkenan sambil memancing. 


"Pada jam lebih kurang 3.30 petang, seorang lagi rakan mereka datang untuk menghantar bekalan minyak. 


"Memandangkan keadaan cuaca baik mangsa dan rakannya terus ke Telok Melano dan kemudian berpusing ke arah utara lebih kurang 3 batu nautika dari perairan Telok Melano menuju ke Pulau Talang-Talang dengan jarak antara mangsa dengan rakannya lebih kurang 1 batu nautika antara satu sama lain," katanya hari ini. 


Tambahnya, mangsa bersama rakan kemudiannya dari Pulau Talang-Talang bergerak ke Kuching dan lebih kurang 10 minit rakan mangsa menyedari mangsa tidak kelihatan. 


"Rakan mangsa kemudian berpatah balik ke Pulau Talang-Talang ke Telok Melano dan patah semula ke Pulau Talang-Talang sehingga jam 7.30 malam," katanya lagi.


Damatarius memberitahu, rakan mangsa kemudian terus ke sebuah hotel di situ dan tiba di sana sekitar jam 8.30 malam kerana hari sudah gelap. 


Menurutnya lagi, rakan mangsa memaklumkan mangsa masih gagal ditemui sebelum dia meminta pertolongan polis untuk mengambil tindakan awal dengan memaklumkan kepada pihak Maritim dan pihak berkaitan lain. 


Sehingga kini operasi mencari dan menyelamat mangsa masih giat dijalankan. 

Next Post Previous Post