15 isu berhubung MA63 masih belum selesai - Maximus Ongkili

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili

KOTA SAMARAHAN— Sejumlah 15 isu di bawah pemantauan Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) masih belum diselesaikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata isu berkenaan termasuk kuasa negeri ke atas isu kesihatan, kuasa baki perundangan mengenai alam sekitar, tenaga buruh di Sabah dan Sarawak serta pelepasan tanah diberi hak milik kepada persekutuan di Sabah dan Sarawak.


“Kebanyakannya sudah dibawa kepada jawatankuasa (Jawatankuasa Majlis Khas MA63). Ada beberapa perkara yang masih dalam perbincangan. Misalnya, isu pemberian di bawah Akta 112 (1) Perlembagaan Persekutuan (Pertambahan Jawatan) dengan Sarawak.


“Perbincangan sudah mula tapi belum ada kata putus (mengenai) berapa semakan mengenai bayaran balik (bagi royalti minyak dan pembayaran balik tunai petroleum). Selain itu, penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak juga masih dalam pembincangan,” katanya.


Bercakap dalam sidang media selepas menghadiri Forum Kesedaran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ‘MA63: Dari Perspektif Generasi Millenial’ di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini hari ini, beliau berkata antara isu lain yang belum selesai sepenuhnya ialah semakan semula pemberian khas (Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan) negeri Sarawak dan kuasa kawal selia gas dan elektrik negeri Sabah.


Sementara itu ditanya mengenai sama ada nisbah bagi pembahagian 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak perlu dikekalkan tanpa mengikut populasi negeri, Maximus berkata ia terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana ia masih dalam tahap perbincangan.


Katanya perkara yang lebih penting adalah matlamat untuk kedua-dua negeri itu mendapatkan semula peratusan kerusi seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia, tercapai. 


“Objektif utama adalah untuk kembalikan hak 30 ke 35 peratus itu. Nisbah yang digunakan SPR memfokuskan kepada populasi dan urbanisasi namun, yang penting aspirasi dan terma seperti perjanjian itu dikembalikan,” katanya. 


Sementara itu Ongkili berharap lebih banyak program yang menerangkan mengenai pembentukan Malaysia dan matlamat MA63 dapat diadakan di peringkat insititut pengajian tinggi, sama ada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA


Next Post Previous Post