Pemain Sarawak dibayar macam buruh kerja kayu 1970an

Gambar kredit PFAM

KUCHING-- Kemelut gaji tertunggak yang dihadapi barisan pemain dan jurulatih Sarawak United FC seperti zaman gaji buruh "kerja kayu" atau pembalak 1970-an.


Pada zaman itu, pekerja buruh kayu diberi wang pendahuluan sebelum masuk ke hutan untuk menjalankan aktiviti menebang balak.



Situasi ini dikatakan berlaku pada barisan pemain dan jurulatih Sarawak United yang dikatakan dibayar wang pendahuluan.


Pembayaran wang pendahuluan ini dinyatakan pemilik kelab itu, Datuk Posa Majais dalam laporan yang disiarkan Astro Arena.


Dalam laporan Astro Arena, Posa dipetik berkata, ada di kalangan pemain telah menerima wang pendahuluan atau "advances".


Tambahnya lagi, masalah tersebut akan diselesaikan selewat-lewatnya dua minggu lagi selepas peruntukan baharu kelab diluluskan.


Pada masa sama beliau menerusi rakaman perbualan telefon yang dikongsikan Astro Arena juga menafikan gaji tertunggak empat bulan.


Difahamkan isu tunggakan gaji tersebut melibatkan barisan pemain dan juga jurulatih kelab.


Sementara itu, Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) memandang serius tentang isu tunggakan gaji pemain melibatkan pasukan Sarawak United FC dan akan membawa perkara ini ke peringkat Majlis Penyelesaian Pertikaian Kebangsaan (NDRC) dalam masa terdekat.


PFAM menerusi kenyataan di Facebook rasminya hari ini berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada beberapa orang pemain Sarawak United mengenai isu culas gaji pemain yang ketika ini didakwa sudah memasuki empat bulan.


"Setakat hari ini, PFAM telah menerima laporan daripada beberapa orang pemain Sarawak United FC mengenai isu tunggakan gaji pemain yang pada ketika ini sudah memasuki 4 bulan.


"Pada 14 Jun yang lepas, pihak PFAM telah mula mengeluarkan notis kepada Sarawak United FC untuk tuntutan tunggakan kepada pemain yang telah melakukan aduan.


"Notis susulan turut diberikan kepada Sarawak United FC pada 8 Julai yang lepas," katanya.


Bagaimanapun, jelasnya, meskipun telah menerima maklum balas daripada pihak kelab untuk melunaskan tunggakan gaji, namun sehingga kini, tunggakan tersebut masih belum dijelaskan sepenuhnya.


"Lebih mendukacitakan, pada bulan Jun yang lepas, para pemain terpaksa berhadapan dengan situasi menerima notis untuk mengosongkan tempat penginapan mereka kerana bayaran sewa tidak dilunaskan oleh pihak kelab," tambahnya.


Sehubungan itu, PFAM menegaskan, pihak pengurusan kelab sewajarnya memberikan fokus sepenuhnya dalam menjalankan tanggungjawab mereka bagi mengelakkan hukuman yang berat dikenakan terhadap pasukan.

Next Post Previous Post