Abang Jo marah isu gaji pemain Sarawak


KUCHING--Saban tahun, fenomena pemain bola sepak tidak dibayar gaji dan masalah kewangan persatuan bola sepak berulang, seterusnya memalukan arena sukan negara.



Malah, baru-baru ini pemain bola sepak Sarawak United FC (SUFC) turut mengalami nasib yang sama apabila mendakwa tidak dibayar gaji selama empat bulan.


Lebih menyedihkan, isu tersebut menyebabkan segelintir daripada mereka terpaksa keluar dari kediaman.


Sehubungan itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memberi jaminan, pihaknya akan berusaha menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.


Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media yang diadakan hari ini, Abdul Karim menzahirkan perasaan kesal terhadap kejadian yang berlaku melibatkan pemain-pemain bola sepak Sarawak.


Beliau berkata, Kerajaan Sarawak tidak mahu mereka yang berjuang demi Sarawak terpinggir.


“Saya tidak gembira mendengar berita ini. Malah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri tidak senang mendengarnya.


“Isu ini turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri semalam,” tegasnya pada sidang media Program Malaysia Rumah Keduaku Sarawak (S-MM2H) di sini hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pemain SUFC dilaporkan tidak menerima gaji selama empat bulan menurut kenyataan dikeluarkan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) baru-baru ini.


Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, beliau akan berjumpa dengan presiden SUFC, Datuk Posa Majais bersama pemain-pemain termasuk mereka yang membuat laporan untuk melihat isu itu dengan lebih lanjut.


Pada masa sama, secara peribadi tegasnya, beliau melihat pengurusan pasukan ini tidak bertanggungjawab. 


“Kalau ada gaji yang perlu dibayar, ia mesti di bayar dan ia sama seperti kita bekerja di syarikat lain di mana kita akan menunggu gaji pada hujung bulan. 


“Sekiranya gaji tidak dibayar, ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati. Namun, Kerajaan Sarawak akan meneliti isu ini dan berusaha menanganinya,” katanya.


Menurut kenyataan Facebook PFAM, 14 Jun 2022, pihak PFAM telah mengeluarkan notis kepada SUFC untuk tuntutan tunggakan kepada pemain yang melakukan aduan. 


Notis susulan turut diberikan kepada Sarawak United FC pada 8 Julai lepas walaupun telah menerima respon balas daripada pihak kelab, namun sehingga kini, tunggakan tersebut masih belum dijelaskan.


“Lebih mendukacitakan, pada bulan Jun yang lepas, para pemain terpaksa berhadapan dengan situasi menerima notis untuk mengosongkan tempat penginapan mereka kerana bayaran sewa tidak dilunaskan oleh pihak kelab,” kata kenyataan itu.

Next Post Previous Post