Chong kalah saman fitnah


KUCHING-- Mahkamah Tinggi Kuching hari ini memerintahkan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen membayar denda RM150,000 dan kos guaman RM50,000 kepada kerajaan Sarawak.


Ini berikutan kerajaan Sarawak dan Pihak Berkuasa Kewangan Sarawak (SFA) (plaintif) menang dalam kes saman fitnah 'black hole' yang difailkan terhadap Chong selaku defendan berhubung kenyataan dikeluarkannya mengenai isu sejumlah RM11 bilion hilang dari tabung negeri.



Memetik laporan The Borneo Post, Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai dalam menyampaikan keputusan kes itu di Mahkamah Tinggi Kuching hari ini memberitahu mahkamah mendapati pihak plaintif telah membuktikan kes mereka.


Jelasnya, kenyataan defendan didapati memfitnah plaintif, merujuk kepada plaintif dan telah diterbitkan atau disiarkan oleh defendan.


Tambahnya, mahkamah mendapati defendan gagal membuktikan ketiga-tiga perkara iaitu justifikasi, komen yang adil (fair comment) dan ‘qualified privileges’. 


Pada yang sama, mahkamah mendapati plaintif telah membuktikan niat jahat sebenar pihak defendan.


“Justeru, tuntutan plaintif dibenarkan dan mahkamah dengan ini membuat perintah iaitu pemberian ganti rugi RM150,000 yang perlu dibayar oleh defendan kepada plaintif; perintah injunksi yang menghalang defendan sama ada dirinya sendiri, pekhidmat atau ejennya atau sebaliknya daripada menerbitkan atau menyebabkan untuk menerbitkan perkataan atau kenyataan yang sama atau serupa; dan kos dalam jumlah RM50,000 yang perlu dibayar oleh defendan kepada plaintif,” kata Siew. 


Semasa prosiding, peguam Michael Kong yang mewakili Chong memohon diberikan penangguhan pelaksanaan untuk penghakiman hari ini, yang membabitkan kewangan.


Katanya, jika defendan gagal membayar kerajaan seperti yang diarahkan oleh mahkamah, beliau mungkin bankrap jika prosiding kebankrapan dimulakan terhadapnya. 


"Ini bermakna beliau perlu mengosongkan status Ahli Parlimen dan ADUNnya," katanya. 


Tambahnya, ia akan memberikan kesan iaitu pilihan raya kecil perlu diadakan untuk kerusi DUN Padungan, sekali gus akan menelan belanja berjuta-juta wang milik pembayar cukai. 


Menurut Kong lagi, mahkamah perlu mengambil kira kekangan atau impak kewangan yang dialami oleh semua orang akibat COVID-19 kerana ia merupakan keadaan istimewa.


Kes ‘Black Hole’ ini tegasnya, merupakan kes pertama di Malaysia membabitkan pihak kerajaan memfailkan saman terhadap individu persendirian.


Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Sarawak Dato Sri JC Fong memohon kepada mahkamah agar pihak defendan memfailkan permohonan rasmi. 


Siew kemudian memaklumkan mahkamah tidak bersedia untuk membenarkan sebarang penangguhan permohonan lisan oleh peguam defendan.


Jelasnya, pihak defendan bagaimanapun bebas untuk memfailkan permohonan rasmi berserta sijil segera jika ada.


"Selepas melakukan pemfailan sedemikian, mahkamah akan mengurusnya dengan segera," kata Siew.


Dalam kes itu, Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin diwakili Chong Siew Chiang dan pembantu khasnya, Michael Kong.


Pihak plaintif hari ini turut diwakili Pegawai Undang-Undang Oliver Chua.


Berdasarkan laporan pada 2013, bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu menggunakan istilah 'black hole' untuk menyatakan sejumlah RM11 bilion hilang dari tabung negeri dan menerbitkan tuduhan itu dalam akhbar nasional dan portal berita nasional.


Kerajaan negeri menanggap kenyataan ADUN Padungan tersebut seolah-olah memberi makna yang pihaknya dan Pihak Berkuasa Kewangan Sarawak (State Financial Authority) menyalurkan berbilion ringgit untuk faedah kroni ahli-ahli Kerajaan dan keluarga mereka melalui proses belanjawan.


Akibatnya, kerajaan Sarawak dan Pihak Berkuasa Kewangan Sarawak memfailkan saman fitnah terhadapnya pada 3 April 2013 di Mahkamah Tinggi Kuching.

Next Post Previous Post