337 terima kunci rumah Darul Hana Sabtu ini

Penempatan Darul Hana. Gambar arkib


KUCHING— Kumpulan pertama penduduk Seberang Hilir berpindah ke penempatan pembangunan Darul Hana di sini telah ditukar pada Sabtu ini.


Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata tarikh awal dicadangkan bagi penyerahan kunci rumah terbabit adalah 22 Ogos iaitu semalam.


Salah sebuah rumah di Darul Hana. FB 


"Disebabkan jadual baharu yang kita terima dari Pejabat Premier Sarawak, tarikh tersebut telah ditukar kepada 27 Ogos iaitu hari Sabtu ini,"katanya selepas melawat projek parit tebatan banjir Jalan Masjid, Jalan Gartak, Jalan Market dan Lebuh Java di Padang Merdeka, di sini hari ini.


Dr Abdul Rahman berkata, majlis penyerahan hak milik, kunci rumah dan dana pampasan perpindahan akan disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada semua pemilik rumah.


Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi


"Sebanyak 337 Ketua Isi Keluarga (KIR) dari tiga kampung iaitu Kampung Panglima Seman Lama,  Kampung Semarang dan Lot Tambahan akan menerima kunci rumah masing-masing pada hari tersebut,”katanya.


Menurutnya lebih 100 KIR akan menerima wang pampasan dari Kerajaan Sarawak melalui Premier Sarawak.


Beliau turut menjelaskan isu berkaitaan aduan bahawa kawasan penempatan baharu itu belum mempunyai sambungan utiliti bekalan air dan elektrik adalah tidak benar.


“Sebenarnya utiliti terbabit sudah disambung namun meternya tidak disambung berikutan perbuatan laku musnah.


"Hari ini saya menerima laporan bahawa kesemua utiliti ini  akan siap dipasang pada 25 Ogos ini. Maknanya dalam tempoh beberapa hari ini mereka akan memasang meter bekalan elektrik dan air ke semua 337 unit rumah yang akan dihuni penduduk,"katanya.


Tambahnya Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) juga akan membantu memasang lampu jalan di penempatan terbabit dan disiapkan 25 Ogos ini.

Next Post Previous Post