Notification

×

Iklan

Iklan

Usul tuntutan waris Sulu ditolak, MP Kota Belud digantung dua hari

| Julai 18, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-07-18T10:17:18Z
Isnaraissah Munirah Majilis semasa sidang media bertegas mahu usul tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah dibahas di Dewan Rakyat. Gambar kredit Facebook Mohd Azis Bin Jamman

KUALA LUMPUR—Ahli Parlimen pembangkang dari Sabah Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) diarah keluar dan digantung dua hari daripada menghadiri persidangan selepas beliau bertegas mahu usul tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah dibahas di Dewan Rakyat.


Usul mengenai tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah yang ditolak buat kali ketiga di Dewan Rakyat itu mencetuskan pertikaman lidah antara beberapa Ahli Parlimen pembangkang dari Negeri di Bawah Bayu itu dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Timbalan Yang Dipertuanya Datuk Mohd Rashid Hasnon.


Keengganan Isnaraissah Munirah untuk duduk dan menerima keputusan Speaker berhubung perkara itu menyebabkan Mohd Rashid yang menggantikan Azhar Azizan mengarahkan Bentara mengiringi Ahli Parlimen Kota Belud itu keluar dewan.


Isnaraissah Munirah tetap tidak keluar dan beliau yang dikelilingi wakil rakyat pembangkang dari Sabah tetap bersuara meminta usul itu dibahas walaupun ketika itu Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan membentangkan Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali kedua.


Kekecohan kira-kira 30 minit itu bermula apabila Isnaraissah Munirah bangun sebaik dewan selesai mempersetujui usul menangguhkan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang dijadualkan hari ini.


“Tuan Speaker (Tan Sri Azhar Azizan Harun) buat kali ketiga speaker menolak usul saya tentang Sultan Sulu, saya cukup hairan, saya mahu tanya Kerajaan Persekutuan, sampai tahap apa baru usul ini dibolehkan bahas? ini soal kedaulatan negara, bukan soal remeh temeh. 


“Saya mohon MP Sabah dan MP lain untuk berdiri mohon usul ini dibincangkan,” katanya.


Ram Karpal Singh (PH-Bukit Gelugor) kemudian bangun menyatakan usulnya mengenai rampasan aset Petronas di Aizerbaijan oleh waris Kesultanan Sulu juga ditolak oleh Azhar, manakala Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) mempersoalkan alasan Azhar yang menolak usul itu atas alasan sub judice.


Azhar kemudian memberi penjelasan dan alasan mengapa usul Isnaraissah Munirah dan Ram Karpal ditolak dan menyatakan usul tergempar mengenai rampasan aset Petronas di Aizerbaijan pernah diluluskan untuk dibahas pada satu daripada sesi lepas dan diberi penerangan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi.


“Semua orang telah tahu apa sebenarnya berlaku tentang aset Petronas di Aizerbaijan, tentang sub judice, saya menerima pandangan undang-undang sememangnya ada satu atau dua prosiding yang masih berjalan sekarang, peraturan mesyuarat amat terang dan saya memakainya,” katanya.


Isu itu berterusan selepas Mohd Rashid menggantikan Azhar untuk mengendalikan persidangan dewan itu, bagaimanapun Timbalan Yang Dipertua Dewan itu tegas dengan keputusan yang dibuat dan meminta Takiyuddin meneruskan pembentangan rang undang-undang itu.


Mohd Rashid berkata Isnaraissah Munirah boleh membuat rayuan mengenai perkara itu mengikut Peraturan 43 yang menyebut Ahli Parlimen boleh menulis surat kepada Yang Dipertua merayu supaya usul mereka diterima dan dibahaskan.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update