Indonesia luluskan pil Paxlovid Pfizer rawat COVID-19


JAKARTA—Agensi Pemantauan Makanan dan Ubat-ubatan (BPOM) Indonesia meluluskan penggunaan kecemasan ubat antivirus Pfizer, Paxlovid, untuk merawat pesakit COVID-19 yang layak.


Menurut Ketuanya Penny Kusumastuti, pil Paxlovid yang bersalut itu merangkumi dua jenis pil iaitu 150 mg nirmatrelvir dan dibungkus bersama 100 mg ritonavir.


Dos yang disyorkan adalah 300 mg nirmatrelvir, bersamaan dengan dua tablet 150 mg, dengan satu  tablet 100 mg ritonavir, diambil dua kali sehari selama lima hari, katanya dalam satu kenyataan.


BPOM sebelum ini memberikan permit untuk dua jenis ubat antivirus iaitu Favipiravir dan Remdesivir pada 2020, antibodi monoklonal Regdanvimab (2021), dan Molnupiravir (2022).


Semalam, negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu mencatatkan 3,540 kes baharu COVID-19, turun daripada 4,329 kes pada Sabtu.


Kes harian meningkat kepada lebih 3,000 bulan ini kerana varian Omicron, dengan kebanyakan kes baharu dikesan di Jakarta.


Pada masa ini, liputan dos penggalak Indonesia baru mencapai 25 peratus daripada 208 juta orang yang disasarkan setelah menerima dos ketiga.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post