Sarawak kerajaan berdaulat di zaman Rajah Brooke

Dominique Ng (dua kanan barisan hadapan) bersama yang lain semasa sambutan Hari Sarawak di Bung Orad, Grogo, Bau baru-baru ini. Gambar Kredit FB Bunsin Kalun

Dominique Ng impikan lagu Fair Land Sarawak lagu kebangsaan era Brooke dimainkan semula di corong radio RTM


BAU— Hanya pihak yang tidak memahami sejarah Sarawak menganggap bendera Raja Brooke sebagai bendera penjajah.


Presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) Dominique Ng berkata, ia bukan bendera kolonial seperti yang didakwa sesetengah orang.


“Bendera Raja Brooke ini bukan penjajah. Ia sudah berkibar selama 100 tahun dari 1841 hingga 1941, ketika itu Sarawak sebuah negeri yang merdeka. Malah bendera ini yang kita angkat semasa merdeka,” katanya dipetik Dayak Daily.


Ng berkata demikian dalam ucapan semasa sambutan Hari Sarawak di Bung Orad, Grogo, Bau baru-baru ini.


Menurutnya, ramai yang salah faham dan menganggap bendera Raja Brooke itu sebagai bendera penjajah.


“Ingin saya tegaskan, semasa pemerintahan British mereka menggunakan bendera Union Jack, bukan bendera Raja Brooke.


Malah ketika pembentukan Malaysia, bendera ini masih digunakan sehingga 1973. Bendera ini sah, ia adalah bendera asal Sarawak,” tegas Ng.


Dalam perkembangan berkaitan, Ng berharap lagu negeri pertama ‘Fairland Sarawak’ akan dimainkan semula di Radio Televisyen Malaysia (RTM).


“Malah ketika Malaysia ditubuhkan, Fairland Sarawak versi terus dinyanyikan. Saya pernah mendengarnya melalui RTM, versi Fairland Sarawak yang betul.


“Minta maaf, lagu yang kita nyanyikan sekarang sedikit ‘lari’. Versi asal lagu ini masih ada dalam simpanan arkib RTM. Saya berjanji, suatu hari nanti kita akan menyanyikan ‘Fairland Sarawak’ di RTM semula,” kata Ng.


Beliau berkata, rakyat di negeri ini tidak seharusya takut dengan sejarah negeri sendiri.


Ng turut menegaskan 22 Julai sepatutnya disebut Hari Kemerdekaan Sarawak, bukan Hari Sarawak. 


“Mantan Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem mengisytiharkan 22 Julai sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak, namun kemudian ditukar sebagai Hari Sarawak,” katanya.


Beliau berkata, walaupun Perlembagaan Persekutuan mungkin sudah mengembalikan hak Sabah dan Sarawak namun hakikatnya apa yang diterima belum cukup.


Sabah dan Sarawak berhak menikmati erti kemerdekaan yang sebenar dalam gabungan Malaysia, kata Ng.

Next Post Previous Post