Sarawak dalam proses bina kilang pemasangan kereta hidrogen di Kuching


KUCHING—Sarawak sedang dalam proses untuk membina kilang pemasangan kereta hidrogen di bandar raya ini.


Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni berkata proses itu sedang diusahakan dengan syarikat asing dan ketika ini mencari tapak tanah kilang terbabit dan kemungkinan tidak jauh dari Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).



"Tidak boleh dedahkan (bila pembinaan kilang bermula), tidak lama lagi. Ini supaya harganya (kereta hidrogen) mampu milik sekiranya dipasang di sini," katanya pada sidang media selepas mewakili YAB Premier Sarawak merasmikan International Conference On Clean Energy 2022 di BCCK di sini, hari ini.


Dr Hazland berkata ketika ini kereta menggunakan hidrogen yang diimport amat mahal harganya mencecah sekitar RM130,000 hingga RM150,000 seunit.


"Saya tidak boleh umumkan (butiran jenama kereta dan syarikat asing itu), itu Premier (Sarawak) yang akan umumkan. Kamu hanya katakan Sarawak dalam proses (membina kilang)," tambahnya.


Beliau mendedahkan Sarawak juga akan mengimport banyak lagi kereta hidrogen untuk kegunaan kabinet dan kerajaan selepas tiga tahun mencuba pengunaan bas dan kereta hidrogen.


Di samping itu, dari segi keselamatan, Abang Hipni menafikan anggapan ramai yang gas hidrogen merbahaya kerana boleh meletup seperti bom hidrogen.


"Kalau kemalangan, tangki petrol (boleh) meletup, tapi tangki hidrogen tidak meletup dan lebih selamat," tambahnya.


Selain itu, beliau menjelaskan kemalangan belon udara besar yang terkemuka suatu masa lalu adalah kerana pengunaan gas helium dan bukan hidrogen.


Dr Hazland menambah, setakat ini dua kilang pengeluaran hidrogen juga sudah disahkan akan dibina pelabur dari Jepun dan Korea di Bintulu. 

Next Post Previous Post