MPB, WWF meterai MoU bantu komuniti penanam lada

MPB, WWF meterai MoU, Komuniti penanam lada, WWF-Malaysia, Sarawak Update
Jenny (kiri) dan Sophia menunjukkan dokumen selesai majlis menandatangani MoU sambil disaksikan Zuraida (tengah). Gambar kredit MPIC

KUCHING—Tabung Alam Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia) dan Lembaga Lada Malaysia (MPB) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membuka laluan kepada pengurusan bersama sumber asli dan tanah ladang lada dengan lebih baik, terutamanya bagi komuniti tempatan di Song Sarawak, kira-kira 500 kilometer timur laut dari sini.


WWF-Malaysia dalam satu kenyataan hari ini menyatakan majlis perjanjian itu telah disaksikan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin di Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur.


Pada majlis itu WWF-Malaysia diwakili Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Ekekutifnya Sophia Lim dan MPB pula diwakili Timbalan Ketua Pengarahnya Jenny George.


“Mengikut MoU ini, MPB akan menyediakan kepakaran teknikalnya dalam penanaman lada biasa dan organik supaya komuniti terlibat dalam projek ini akan mendapat manfaat daripada pembinaan kapasiti dan aspek teknikal penanaman lada,” menurut kenyataan WWF-Malaysia itu.


Komuniti yang disasarkan ialah Rumah Dagum dan Rumah Peter di Ulu Katibas, Song. MPB juga akan memanjangkan sokongan dengan menyediakan mesin penggredan dan penyisihan lada jika sesuai.


WWF-Malaysia telah bekerjasama dengan kedua-dua komuniti itu sejak 2018 dan untuk tahun ini, projek itu telah menerima sokongan pembiayaan yang amat diperlukan daripada Kementerian Kewangan dengan WWF-Malaysia terus menjadi perantara, bekerjasama dan merancang aktiviti di lapangan, manakala MPB akan memantau kemajuan projek.


Kerjasama itu juga membuka jalan kepada kedua-dua organisasi itu untuk meneroka pensijilan antarabangsa atau skim amalan pertanian baik untuk lada dan membantu memasarkan lada yang ditanam komuniti tempatan.


“Projek ini penting kerana ia bertujuan untuk menunjukkan beberapa perkara penting yang sejajar dengan visi dan misi WWF untuk memulihara alam semula jadi untuk manusia dan bumi ini, sambil memudahkan dan mengukuhkan pilihan mata pencarian masyarakat.


“Pada masa yang sama, ia berusaha untuk meminimumkan kesan buruk terhadap alam sekitar melalui amalan pengurusan yang baik dan pilihan bebas racun perosak, dan melihat kebolehlaksanaan jangka panjang lada yang ditanam secara organik,” menurut kenyataan itu.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.