KPDNHEP serbu rumah seleweng minyak masak bersubsidi

KPDNHEP Sandakan tumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi di di Kampung Jawa 2, Batu 12, Sandakan. Gambar kredit KPDNHEP Sandakan 

SANDAKAN—Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sandakan menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi berjumlah 15,048 kilogram bernilai RM37,620 dalam serbuan di Kampung Jawa 2, Batu 12 di sini malam semalam.


Ketua cawangannya Azdy Zukkry John berkata serbuan pada 7.30 malam itu dibuat ke atas sebuah rumah tidak bernombor yang dipercayai dijadikan tempat kegiatan penyelewengan barang kawalan itu sejak kira-kira setahun lepas di daerah ini, namun tiada tangkapan dibuat.


Gambar kredit KPDNHEP Sandakan 


“Serbuan dibuat hasil siasatan serta risikan sejak seminggu lepas dan berdasarkan tumpahan minyak di merata tempat di rumah ini, kami percaya sindiket ini memang sangat aktif terutama sejak harga minyak masak semakin meningkat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Gambar kredit KPDNHEP Sandakan 


Sementara itu, menurut Azdy Zukkry pihaknya telah mengesyorkan kepada kementerian supaya lesen pemborong sebuah syarikat yang disyaki terbabit dalam satu kes penyelewengan lebih 19,000 kilogram minyak masak bersubsidi di sini pada Mac lepas, digantung sehingga kes selesai.


Katanya terdapat 21 syarikat pemborong aktif di Sandakan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post