Kerajaan mansuh syarat “tidak menyewakan rumah sendiri” untuk pegawai perkhidmatan awam

Gambar arkib


PUTRAJAYA—Kerajaan menambah baik bayaran Imbuhan Perumahan Khas dengan memansuhkan syarat “tidak menyewakan rumah sendiri” untuk pegawai perkhidmatan awam yang diarahkan mendiami Rumah Khas Jabatan dan Rumah Khas Jawatan, berkuat kuasa 1 Julai.

Melalui pemansuhan itu, bayaran imbuhan khas perumahan itu layak dibayar kepada pegawai perkhidmatan awam dengan syarat pegawai menduduki Rumah Khas Jabatan atau Rumah Khas Jawatan yang diperuntukkan kepadanya.

Dalam surat edaran bertarikh 8 Julai 2022 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, ia menyatakan peraturan di perenggan 4 dalam Pekeliling Perkhidmatan (PP) 11/2002 bagi syarat  tidak menyewakan rumah sendiri dimansuhkan, ekoran penguatkuasaan tersebut.

Perenggan 4 dalam PP 11/2002 menyatakan Imbuhan Perumahan Khas dibayar dengan syarat pegawai yang menduduki rumah yang diperuntukkan kepadanya tidak menyewakan rumah sendiri.

Bayaran Imbuhan Perumahan Khas adalah merupakan penjenamaan Bayaran Perumahan Khas melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 berikutan rasionalisasi elaun dalam perkhidmatan awam.

Menurut surat edaran itu, keputusan menambah baik peraturan sedia ada itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memberi perhatian dalam aspek kebajikan dan kesejahteraan pegawai perkhidmatan awam.

“Keputusan ini juga sebagai usaha supaya rakyat termasuk pegawai perkhidmatan awam memiliki rumah sendiri,” menurut surat edaran itu.

Tertakluk kepada penerimaan pihak berkuasa masing-masing, surat edaran itu turut dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post