Sarawak rangka syarat bagi pengiktirafan status peribumi


KUCHING—Kerajaan Sarawak sedang dalam proses merangka syarat serta keperluan yang akan dikenakan bagi pengiktirafan status peribumi di bawah Ordinan Tafsiran (Pindaan) 2022.


Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali berkata ordinan yang diluluskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 15 Feb lepas telah disiarkan dalam Sarawak Gazette pada 25 Feb lepas.


Beliau berkata bagaimanapun Ordinan itu masih belum berkuat kuasa.


“Kerajaan negeri sedang dalam proses merangka syarat dan keperluan yang akan dikenakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi pengiktirafan seseorang (yang merupakan warganegara dan anak kandung kepada seseorang daripada kaum pribumi Sarawak), sebagai peribumi Sarawak seperti yang termaktub dalam Ordinan berkenaan.


“Justeru bagi menjaga kedudukan dan hak istimewa peribumi Sarawak yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri perlu memastikan syarat dan keperluan itu adalah bersesuaian, munasabah, praktikal dan lebih penting lagi tidak berlebihan dengan syarat semasa, keperluan dan proses,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Beliau berkata kerajaan negeri juga telah mengarahkan agensi kerajaan yang berkaitan seperti Majlis Adat Istiadat Sarawak, Mahkamah Anak Negeri Sarawak, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bersama-sama Jabatan Peguam Negara meneliti penggubalan syarat dan keperluan untuk dikenakan secara holistik.


“Apabila selesai, draf syarat dan keperluan itu akan dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kelulusan.


“Setelah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan, Ordinan itu akan diwartakan untuk dikuatkuasakan,” tambahnya.


Pada 15 Feb lepas Dewan Undangan Negeri Sarawak sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang Tafsiran (Pindaan) 2022 yang antara lain mengemas kini senarai kaum pribumi di Sarawak.


Pindaan itu dilakukan terutamanya untuk menambah 12 kaum tambahan dalam Jadual Ordinan Tafsiran dan untuk melaksanakan pindaan baru-baru ini dalam Fasal (6)(a) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan mengenai kaum pribumi Sarawak.


Tambahan 12 kaum yang disenaraikan itu melibatkan kaum Bagatan, Bakong, Bemali, Berawan, Dali, Lakiput, Jatti Miriek, Narom, Sa’ban, Tatau, Tring dan Vaie.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post