Bau bukan lagi pekan ‘mati’



BAU—Bau kini bukan lagi pekan mati waktu malam dengan perasmian premis hiburan malam Pub Street di Lobuh Bau semalam.

Pub Street keseluruhannya mempunyai 14 gerai menjual makanan dengan 12 gerai terbabit diusahakan usahawan tempatan kaum Bidayuh.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep telah merasmikan premis terbabit.


Henry berkata sebelum ini ramai yang mengadu pekan itu seolah-olah ‘mati’ berikutan ketiadan aktiviti selepas 2 petang.

“Semasa mula-mula menjadi wakil rakyat di kawasan ini, saya banyak menerima permintaan untuk ‘menghidupkan’ pekan ini.

Saya meminta mereka untuk melihat kembali keadaan pekan Bau dalam tempoh lima tahun.

Hari ini selepas lima enam tahun, kita mampu membuat pekan Bau sebagai pekan yang hidup siang dan malam,"katanya.


Sehubungan itu, beliau turut meminta pegawai Majlis Daerah Bau dan Pejabat Daerah Bau untuk merancang lebih banyak aktiviti dan peluang perniagaan di kawasan itu.

Katanya, aktiviti ini secara tidak langsung dapat menyumbang terhadap pembangunan sosioekonomi pekan itu yang mempunyai kira-kira 63,000 penduduk.

Henry berkata, dengan perhubungan yang bertambah baik setelah siapnya Lebuhraya Pan Borneo tidak lama lagi, ia dapat memudahkan orang ramai dari Kuching ke pekan itu.
Next Post Previous Post