Doa termakbul, ibu bersyukur mayat anak ditemukan

Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain yang dilaporkan hilang 30 Okt tahun. Gambar media sosial

KUANTAN-- Penantian seorang ibu berakhir apabila kehilangan anak kesayangannya yang dicari hampir 10 bulan terjawab, semalam. 


Azmawati Ab Kadir, 55, ibu kepada Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain yang dilaporkan hilang 30 Okt tahun lepas berkata beliau bersyukur dan berasa lega apabila doanya selama tempoh pencarian itu telah dimakbulkan.


"Saya doa supaya Allah beri tanda dan bila dapat tahu semalam kepala rasa ringan dan lega, kalau tidak setiap pagi bangun mesti fikir mana anak aku, tambah kalau musim hujan lagi teringat.


"Kadang bila duduk depan rumah, saya cakap dalam hati abang kat mana, abang tolong la balik...Alhamdulillah Allah makbul doa dan saya sangat bersyukur," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.


Ibu kepada dua anak itu berkata, beliau telah dihubungi oleh seorang individu tidak dikenali semalam yang memaklumkan anaknya sudah ditemukan, namun beliau sangsi sebelum dihubungi oleh pihak polis sendiri.


"Polis hubungi dan tunjuk gambar barang-barang anak...betul baju itu kepunyaaan anak saya," katanya.


Tambah beliau, tepi Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, yang lokasi kereta dipercayai anaknya ditemukan itu, merupakan laluan yang sering digunakan Muhammad Iman Aqmar untuk ke tempat kerja di Kemaman, Terengganu.


"Kali terakhir saya jumpa arwah macam biasa cuma anak duduk agak lama dalam kereta sebelum bertolak dan suruh saya masuk ke dalam rumah," katanya. 


Menurut Azmawati, proses bedah siasat dijangka dilakukan esok di Hospital Tengku Ampuan Afzan sebelum jenazah di bawa pulang ke Kampung Pasir Putih, Johor untuk urusan pengebumian.


Semalam, media melaporkan polis menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, dipercayai mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sebelum ini.


Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin dilaporkan berkata mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang ditemukan seorang lelaki warga emas semasa dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada 11.40 pagi.


Siasatan awal terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia dikaitkan dengan laporan kehilangan yang dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga lelaki bernama Muhammad Iman Aqmar, 24.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post