Amerika sekat import 8 syarikat Malaysia atas dakwaan buruh paksa

Gambar hiasan kredit Andy Li via unsplash

KUALA LUMPUR—Persidangan Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan terdapat lapan syarikat Malaysia telah dikenakan Perintah Sekatan Pelepasan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (US CBP) sejak dua tahun kebelakangan ini. 


Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata syarikat berkenaan terdiri daripada pengeluar produk sarung tangan getah dan kelapa sawit.


Bagaimanapun, dua daripada lapan syarikat itu dilepaskan daripada perintah tersebut pada 2021 setelah mengambil langkah-langkah pencegahan dan tindakan sewajarnya.


“Hal ini termasuklah dengan membuktikan bahawa produk-produk yang dibuat, dihasilkan atau dikilangkan tidak melibatkan sebarang amalan buruh paksa,” katanya, menjawab soalan R. Sivarasa (PH-Sungai Buloh) berhubung nama dan bidang perniagaan syarikat Malaysia dari 2019 hingga kini yang dikenakan WRO oleh US CBP dalam sesi soal jawab.


Sementara itu, beliau berkata Jawatankuasa Kumpulan Kerja Bersama antara Malaysia dan Amerika Syarikat dijadual mengadakan mesyuarat pertama pada Ogos secara maya manakala mesyuarat kedua dirancang dianjurkan secara fizikal di Kuala Lumpur pada Disember tahun ini. 


Penubuhan jawatankuasa itu adalah cadangan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan ketika mengadakan lawatan ke negara tersebut pada Mei lepas bagi memastikan hubungan baik kedua-dua negara, dengan cadangan itu turut dipersetujui US CBP.


Awang berkata melalui jawatankuasa itu, pelbagai program kerjasama dijangka dapat dijalankan, antaranya program pembangunan kapasiti, perkongsian maklumat dan teknologi serta sesi dialog bersama pihak berkepentingan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post