2,200 liter diesel cuba diseleweng digagalkan di Sri Aman


SRI AMAN-- Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan 2,200 liter minyak diesel di sini semalam. 


Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sri Aman Al Redzamani Abdul Razak berkata pihaknya menerima serahan kes terbabit daripada PGA semalam berikutan penahanan seorang pemandu lori lelaki bersama 2,200 liter diesel. 


"PGA sebelum itu telah meminta pemandu lori mengemukakan sebarang surat kebenaran atau lesen dan permit daripada pihak KPDNHEP. 


"Walau bagaimanapun pemandu lori terbabit gagal mengemukakannya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jelasnya lagi, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat 2,200 liter diesel di dalam 11 tong drum  yang dianggarkan berjumlah RM4,730 dalam sebuah lori berjenama Toyota bewarna putih tersebut yang anggarannya bernilai lebih RM40,000 yang menjadikan jumlah nilai rampasan adalah RM44,730. 


"Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti punca bekalan," tegasnya.


Sehubungan itu, katanya, KPDNHEP memberikan amaran keras ke atas mana-mana individu pengusaha stesen minyak atau mana-mana syarikat pemborong sekitar Bahagian Sri Aman dan Bahagian Betong termasuk Daerah Saratok ini agar mematuhi perundangan.


"Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB1961 (Akta122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.


"Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000," katanya lagi.


"Masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya bahan api seperti diesel ini bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada rakyat dan negara,"ujarnya.


Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan minyak diesel bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran, WhatsApp 019-2794317 /019-8488000, Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my atau Call Centre1-800-886-800.

Next Post Previous Post