Anggota APMM Sabah tidak mengaku salah terima rasuah

Anggota APMM, terima suapan, Jazul Abdullah, tertuduh terima suapan, Kota Kinabalu
Seorang anggota APMM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini atas satu pertuduhan menerima suapan sebanyak RM1,500 pada 2021.

KOTA KINABALU—Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah wang  tunai RM1,500.


Jazul Abdullah, 35, yang berpangkat Laskar Kelas 1 bertugas di Pejabat APMM Sabah didakwa menerima wang itu daripada seorang lelaki sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas bot dan lelaki itu yang mempunyai lesen bot tamat tempoh.


Dia dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan pejabat Sabah Credit, Alamesra di sini pada 7.30 malam, 17 Mac tahun lepas.


Pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Hakim Abu Bakar Manat membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Sept untuk sebutan semula kes.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.