Tokan wanita dalangi sindiket dadah Beladin antara 21 individu ditangkap


KUCHING—Seorang wanita dipercayai dalang sindiket dadah di Beladin antara 21 individu yang diberkas dalam satu operasi khas di dua lokasi berasingan di Beladin, Betong pada Sabtu lalu.


Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, suspek terdiri daripada 18 lelaki dan tiga wanita berusia 18 hingga 54 tahun ditangkap pada 18 Jun 2022 antara jam 12.00 tengah hari hingga 6.30 petang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak.



"Serbuan dijalankan di dua kawasan berasingan, di Jalan Tisak dan Beladin, Betong telah berjaya menangkap 18 lelaki dan tiga wanita kerana disyaki terlibat dalam dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.


Jelasnya, daripada 21 suspek itu, seorang wanita disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, seorang wanita di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952, 18 lelaki dan seorang wanita di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.


Dedah Mohd Azman ujian saringan awal air kencing 18 lelaki dan seorang wanita yang ditangkap didapati positif dadah jenis methamphetamine.


Sementara dua lagi wanita, katanya didapati negatif dadah.


"Semakan rekod kesemua suspek mendapati empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, manakala dua orang lagi mempunyai rekod lampau kes dadah dan jenayah," ujarnya.


Menurutnya lagi, dalam serbuan itu polis turut merampas dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM13,230 yang mana kesemua dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 661 orang penagih dadah.


"Modus operandi, suspek menjadikan kawasan hutan di Jalan Tisak sebagai pot dadah, aktif bermula waktu pagi hingga lewat petang. 


"Manakala di Beladin aktiviti penjualan dadah dijalankan di rumah suspek.


"Bekalan dadah diperolehi dari seorang lelaki yang telah dikenal pasti di kawasan Beladin. suspek akan membungkus semula dadah dan menjualnya kepada penagih tempatan," jelasnya.


Tegasnya, sitaan harta juga dilakukan iaitu wang tunai berjumlah RM7,488 dan barang kemas dianggarkan bernilai RM27,988 di bawah Seksyen 25 ADB (perlucuthakan harta) 1988.


"Reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah telah dibuat di Mahkamah Majistret Betong pada 19 Jun 2022 di mana seorang suspek wanita direman selama enam hari bermula 19 hingga 24 Jun 2022 manakala 20 suspek yang lain telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan patalogi, laporan kimia dan kertas siasatan dilengkapkan.


"Polis Diraja Malaysia khususnya JSJN akan terus mempertingkatkan tindakan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah serta melumpuhkan sumber bekalan, kewangan dan aset sindiket bagi memastikan kegiatan mereka  dibanteras habis-habisan," tegasnya.

Next Post Previous Post