Sarawak teroka sumber tenaga berasaskan lumut

Abang Johari (tengah) melawat pameran Makmal Revolusi Industri 4.0 semasa Simposium Antarabangsa Mengenai Transformasi Industri Digital 2022 hari ini. Gambar kredit Sarawakku

KUCHING—Sarawak akan terus menjalinkan peluang kerjasama baharu dengan Brunei dan Indonesia untuk membangunkan pengeluaran bahan api penerbangan mapan (SAF) antara lain mengandungi minyak diekstrak daripada tumbuhan alga.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak dan kepulauan Borneo secara keseluruhannya sememangnya mempunyai banyak tumbuhan alga yang boleh digunakan.


Katanya melalui proses pengekstrakan, minyak boleh dikeluarkan daripada alga sekali gus digunakan untuk bahan api.


Jelasnya sebagai permulaan, agensi pembangunan dan pelaburan kerajaan negeri SEDC Sarawak akan membangunkan satu makmal untuk membuat penyelidikan lanjut mengenai perkara tersebut.


“Bayangkan lumut yang banyak di pulau Borneo ini dengan kerjasama bersama Brunei dan Indonesia kita boleh hasilkan minyak dan akan menjadi pengeluar SAF,” katanya semasa berucap pada Simposium Antarabangsa mengenai Transformasi Industri Digital 2022, di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Abang Johari berkata Sarawak juga boleh memanfaatkan ekosistem kawasan pesisir pantainya untuk membangunkan tumbuhan alga tersebut.


“Apabila kita sudah bersedia, mungkin kita boleh melihat bagaimana kita boleh mengusahakan tanaman tumbuhan alga ini di seluruh kawasan pantai kita yang ada bakau.


“Kita juga akan lihat berapa banyak tan alga yang diperlukan untuk menghasilkan berapa gelen bahan api. Kita kena kaji dulu,” katanya.


Dalam ucaptama di Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia 2022  di Rotterdam, Belanda, pada 9 Mei lalu, Abang Johari berkata SEDC Sarawak sedang berkolaborasi dengan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) dalam pembangunan biofuel, hidrogen hijau dan sel bahan api untuk pesawat.


Menurutnya bahan api penerbangan alternatif seperti SAF boleh menjadi kunci kepada perjalanan udara yang mampan, menyumbang kepada strategi pengurangan pelepasan industri dan matlamat pelepasan sifar karbon.


 -- BERNAMA 

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.