Rangka manusia ditemukan dalam perut bangkai buaya

Pasukan SWAT SFC sedang memeriksa bangkai buaya yang ditemukan di perairan Kampung Nyabut, Trombol dekat sini hari ini. Gambar SFC

KUCHING—Beberapa kepingan rangka manusia dijumpai dalam perut bangkai buaya yang dianggarkan seberat 300 kilogram (kg) yang ditemukan di perairan Kampung Nyabut, Trombol dekat sini petang ini. 


Sarawak Forestry Corporation (SFC) menerusi kenyataan di Facebook rasminya berkata, bangkai buaya itu ditemukan oleh Pasukan Swift Wildlife Action Team (SWAT) SFC semasa giat menjalankan usaha-usaha pemburuan buaya yang mengganas di beberapa lokasi termasuk di kawasan Trombol dan Lundu.



"Usaha pemburuan dan penangkapan ini berhasil, apabila satu bangkai buaya jantan seberat 300 kg dengan kesan rahang yang patah, dipercayai telah mati tiga hari yang lalu, ditemukan di perairan Kampung Nyabut, Trombol sebentar tadi.  


“Turut dijumpai beberapa kepingan rangka manusia di dalam perut haiwan liar  yang berukuran 15 kaki tersebut," katanya. 


Jelasnya, kesemua pihak yang terlibat dalam operasi ini belum dapat mengesahkan serta mengenal pasti sama ada buaya yang ditemukan ini merupakan buaya yang terlibat dalam insiden yang mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak lelaki pada 21 Mei lalu sebelum keputusan DNA disahkan benar oleh pihak terbabit.


Tegasnya, SFC merupakan badan pengawal selia yang diberi mandat kuasa di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, selain mempunyai kepakaran dalam tugasan hal-hal berkaitan buaya. 



"Kami ingin turut mengingatkan kepada orang awam bahawa kerja-kerja pemburuan dan penangkapan buaya perlu diserahkan kepada SFC dan bukannya mengambil tindakan sendiri kerana ia adalah berbahaya kepada pihak tersebut dan juga orang awam," ujarnya. 


Selain itu, SFC memaklumkan kerja-kerja sebegini memerlukan lesen dan permit kerana haiwan ini adalah terlindung di bawah undang-undang.


Sehubungan itu, katanya, SFC akan meneruskan usaha dalam meningkatkan pemahaman para penduduk tentang perihal buaya menerusi “Program 3M Buaya” di kesemua kawasan.  


Jelasnya, program ini merupakan satu pendekatan yang diambil oleh SFC bagi membantu komuniti setempat untuk “Mengenali, Memahami dan Memulihara” buaya.  


Menurutnya lagi, program ini akan turut memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kaedah untuk menangani konflik manusia dan buaya dengan lebih efisyen. 


"Pada masa sama meningkatkan kefahaman tentang buaya dan memperkasakan keharmonian antara manusia serta buaya demi memastikan keselamatan penduduk setempat," ujarnya.

Next Post Previous Post