Harga sawit tinggi punca pekerja tinggalkan sektor pembinaan, Fadillah


SIBU-- Peningkatan harga minyak sawit di dalam sektor perladangan telah menarik pekerja dari sektor lain, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.


Katanya fenomena tersebut juga telah memberi kesan kepada sektor pembinaan apabila pekerja mereka berpindah ke sektor perladangan.


Menurutnya kesan kekurangan pekerja pembinaan itu dapat dilihat apabila terdapat beberapa projek pembinaan yang telah lewat disiapkan termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo.



“(Harga sawit kini begitu baik) sebab itu mereka (pemain industri sawit) sanggup membayar berapa saja bayaran untuk mengambil pekerja dan salah satu mangsanya adalah sektor pembinaan.


“Sektor pembinaan pula (membuat bayaran kepada pekerja berdasarkan) dari nilai pasaran dan juga kepada kemahiran yang dimiliki pekerja,” katanya kepada pemberita yang menyertai program Jelajah FTRoadpedia Sarawak di Jejambat Selangau di sini, hari ini.



Jelajah FTRoadpedia Sarawak anjuran Kementerian Kerja Raya yang bermula semalam hingga 11 Jun itu bertujuan meninjau perkembangan semasa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dengan melintasi daerah Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri.


Mengulas lanjut, Fadillah berkata ‘tarikan’ pekerja dari satu sektor ke sektor lain merupakan persaingan dalam pasaran yang bukan sahaja berlaku di Sarawak tetapi seluruh negara.


“Oleh sebab itu, terdapat syarikat yang tubuhkan ‘headhunter’ yang bertujuan untuk mencari pekerja.


“Pihak industri sendiri perlu fikir bagaimana mereka boleh menjaga pekerja mereka dengan memberi tawaran termasuk manfaat yang boleh mengekalkan pekerja,” katanya.


Semalam, Fadillah dilaporkan berkata apabila pandemik COVID-19 melanda, ramai pekerja yang terlibat dengan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak juga telah pulang ke negara asal mereka, menyebabkan kontraktor projek itu kini hanya mampu bekerja dengan kapasiti 70 peratus tenaga kerja berbanding sebelum pandemik.


14,000 permohonan pekerja asing sektor pembinaan diluluskan


Sementara itu di Bintulu, Fadillah berkata sebanyak 14,000 permohonan pekerja asing sektor pembinaan telah diluluskan kerajaan.


BERNAMA melaporkan, Kementerian Sumber Manusia juga telah memeterai perjanjian dengan negara Bangladesh dan Indonesia, untuk membawa masuk pekerja warganegara mereka ke Malaysia.


Namun, Fadillah menjelaskan buat masa ini kerajaan masih menunggu pekerja yang berminat untuk mengambil peluang tersebut.


“Walaupun dah dapat kelulusan tapi (setakat ini) tiada orang yang nak masuk (bekerja). Mungkin di Indonesia dah ada banyak (peluang) pekerjaan baharu, kerana mereka banyak program yang nak dibuat. 


“Jadi itu yang kita tidak pasti sekarang (sebab mengapa mereka tidak mahu datang). Cabaran sekarang adalah untuk kita dapatkan pekerja (bagi sektor pembinaan),” katanya kepada pemberita yang menyertai program Jelajah FTRoadpedia Sarawak di Lapangan Terbang Bintulu di sini, hari ini.


Jelajah FTRoadpedia Sarawak anjuran Kementerian Kerja Raya yang bermula semalam hingga 11 Jun itu bertujuan meninjau perkembangan semasa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dengan melintasi daerah Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri.


Sementara itu, mengulas mengenai projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Fadillah berkata pihaknya akan memperbaiki sistem keselamatan di lebuh raya itu susulan teguran daripada pemimpin setempat.


“Ada teguran dari wakil rakyat dan pemimpin setempat mengenai papan tanda arah, amaran dan lampu pemantul pada waktu malam yang tidak begitu jelas. Itu perlu diperbaiki untuk pastikan pemandu tahu di mana ada persimpangan atau ‘diversion’.


“Terdapat juga guard rail besi yang telah dipasang tetapi ada sebahagiannya telah jatuh, Mungkin ada mereka yang membuat vandalisme,” tambahnya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post