Bomba tumpu 5 bahagian titik panas berisiko berlaku kebakaran hutan tanah gambut

Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid semasa majlis pelancaran Persediaan Menghadapi Monsun Barat Daya di Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan, di sini, petang tadi. Gambar kredit Bomba


KOTA SAMARAHAN—Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi tumpuan di lima bahagian titik panas di Sarawak yang berisiko berlaku kes kebakaran hutan tanah gambut ekoran peralihan Monsun Barat Daya sehingga Oktober ini.


Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, lima bahagian itu ialah Miri, Sibu, Mukah, Sri Aman dan Kuching.


"Semua bahagian itu akan diberi tumpuan dalam operasi pemantauan yang dijalankan berdasarkan maklumat daripada Jabatan Metrologi (MET) Malaysia dan agensi-agensi berkaitan," katanya.


Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid melakukan simbolik pelancaran Persediaan Menghadapi Monsun Barat Daya di Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan. Gambar kredit Bomba


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Majlis Persediaan Menghadapi Monsun Barat Daya di Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan, di sini, petang tadi.


Hadir sama, Pengarah JPBM Sarawak, Datuk Khirudin Drahman @ Hussaini.


Sementara itu, Hamdan menambah, lebih 1,200 kakitangan bomba di Sarawak bersiap siaga merangkumi 186 anggota di Miri, Limbang (64), Bintulu (127 ), Sibu (389), Kuching (287), Sri Aman (113) serta Samarahan (178).


Bagi persediaan aset pula katanya, persiapan telah menjangkau 90 peratus terutama melibatkan alat pemadaman kebakaran hutan dan kebakaran tanah gambut. 


Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid mencuba aset untuk persiapan menghadapi kebakaran hutan dan paya gambut. Gambar kredit Bomba


"Saya difahamkan Kerajaan Sarawak turut membantu dari segi penguatkuasaan menggunakan dron untuk mengesan apa-apa pembakaran terbuka dilakukan oleh individu.


"Dron berteknologi infra merah yang mampu mengesan kebakaran pada waktu malam itu mampu mengesan pelaku yang mencetuskan kebakaran kerana dalam kebanyakan kes berpunca daripada perbuatan manusia," katanya.


Dalam perkembangan lain katanya, peralatan pemadaman kebakaran hutan hasil inovasi pegawai JPBM iaitu MARK-3 akan digunakan bagi menghadapi musim kemarau termasuk di Sarawak.


Katanya, peralatan pemadaman kebakaran hutan Mark III itu amat sesuai untuk digunakan bagi memadam kebakaran di kawasan tanah gambut.


"Peralatan pemadaman kebakaran hutan Mark III itu berfungsi seperti alat pemercik air di taman rekreasi dan amat sesuai digunakan untuk kebakaran melibatkan tanah gambut.


"Bagi memudahkan kita memadam api di dalam tanah itu, nozel alat pemadaman kebakaran hutan Mark III itu akan dicucuk ke dalam tanah gambut dan melepaskan air untuk membasahi kawasan yang terbakar," katanya.


Menurut Hamdan lagi, hasil kejayaan prototaip itu, JPBM sedang berusaha untuk menghasilkan lebih banyak peralatan itu untuk diagihkan.


"Perbincangan mengenainya sudah kita jalankan minggu lalu dan apabila kita berjaya menghasilkan lebih banyak alat itu kita akan lihat keupayaannya untuk menghadapi situasi sebenar kebakaran hutan khususnya di tanah gambut," katanya.

Next Post Previous Post