ASP, koperal antara lima didakwa seludup 119 migran Myanmar

ASP, koperal antara lima didakwa seludup 119 migran Myanmar di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini. Gambar kredit KOSMO

ALOR SETAR—Seorang pegawai kanan dan seorang pegawai rendah polis antara lima individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan penyeludupan 119 migran warganegara Myanmar pada Mei lepas.


ASP Mohamad Faizal Ahmad Zaki, 37, dan Koperal Mohd Razin Razali, 32, didakwa menyeludup migran warganegara Myanmar itu di kedudukan kira-kira 1.9 batu nautika dengan daratan Kuala Kedah, dekat sini pada 9.30 malam, 24 Mei lepas.


Polis bantuan Anas Hafizin Ahmad, 37,  Muhamad Aslam Osman, 29, bekerja sendiri dan nelayan Ibrahim Dahamid, 38, juga didakwa atas tuduhan sama.


Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 


Bagi pertuduhan itu, Mohamad Faizal dan Mohd Razin didakwa di bawah Seksyen 26B(d) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Kedua-dua penjawat awam itu yang bertugas di E6 Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini berhadapan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.


Anas Hafizin, Muhamad Aslam dan Ibrahim didakwa di bawah Seksyen 26A akta sama yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan mereka berhadapan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zahruddin Mohammed Isa, Nor Syaliati Mohd Sobri dan Nur Syifa Mohd Hamzah, manakala peguam Ravi Shankar Gandhi mewakili Mohd Razin dan tertuduh lain tidak diwakili peguam.


Kesemua tertuduh tidak ditawarkan jaminan dan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali menetapkan 4 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.