Anak gajah hilang pergelangan kaki terkena jerat manusia

Seekor anak gajah kehilangan pergelangan kaki angkara jerat manusia. Gambar tangkap layar kredit Kepkas/Sabah News


LAHAD DATU—Seekor anak gajah kehilangan pergelangan kaki kanan yang terpaksa dipotong akibat cedera parah terkena jerat tali dipasang manusia tidak bertanggungjawab, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin.


Beliau berkata Jabatan Hidupan Liar Sabah menerima maklumat daripada orang awam mengenai keadaan anak gajah itu di FELDA Sahabat 5, Tungku dekat sini pada Sabtu lepas dan pasukan penyelamat diarah menjejaki haiwan tersebut. 


"Pasukan itu kemudian berjaya menjejak anak gajah berkenaan pada Sabtu lepas di lokasi dan didapati anak gajah betina berumur kurang daripada dua tahun terbabit mengalami kecederaan di kaki kanan hadapan akibat terkena jerat tali.


"Bagi mengelakkan tisu kaki mamalia itu menjadi lebih parah dan tidak berfungsi, bahagian pergelangan kaki gajah tersebut terpaksa dipotong oleh pegawai veterinar yang membuat rawatan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.


Jafry berkata keadaan itu menyebabkan anak gajah tersebut kehilangan peluang untuk hidup bebas dengan kawanannya malahan terpaksa menjalani kehidupan dalam keadaan cacat seumur hidup.


Beliau berkata sehubungan itu, Jabatan Hidupan Liar Sabah menawarkan ganjaran RM5,000 kepada pemberi maklumat berkaitan pemasangan jerat tersebut dengan menghubungi talian 016-810 9901.


“Oang ramai diharap dapat membantu memberi maklumat berkaitan pemasangan jerat itu sehingga membawa kepada penangkapan pihak bertanggungjawab untuk dibawa ke muka pengadilan, identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.


Jafry juga berkata aktiviti memburu haiwan menggunakan jerat merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 33(1)(k)(iii) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan maksimum 5 tahun atau denda minimum RM20,000 maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


"Saya ingin mengingatkan semua pihak agar tidak memasang jerat untuk apa-apa tujuan kerana perbuatan tersebut menyalahi undang-undang dan saya berharap semua pengurusan ladang dapat memastikan pekerja mereka tidak memasang jerat kerana ini boleh mengaitkan ladang mereka dengan perbuatan kejam ini," katanya. 


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.