21 individu termasuk tokan dadah ditangkap di pusat hiburan di Tabuan

Rampasan pelbagai jenis dadah

KUCHING— Seramai 21 individu ditangkap dengan dadah dianggarkan bernilai RM37,419 dirampas dalam operasi pusat hiburan di Tabuan di sini pada 15 Jun lalu.


Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, operasi itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak antara jam 12.20 tengah malam hingga 2.00 pagi.


Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.


"Dalam serbuan tersebut, polis telah berjaya menangkap 17 lelaki dan empat wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 51 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM37,419.00 serta menyita harta bernilai RM43,425," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.


Jelasnya, daripada 21 orang yang ditangkap, dua lelaki disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seorang suspek lelaki di bawah Seksyen 15 (1)(a)/39A(1) ADB 1952.


"14 suspek lelaki dan empat wanita di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.


"Ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek, 15 lelaki dan empat wanita yang ditangkap didapati positif dadah jenis methamphetamine.


"Sementara dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun didapati negatif dadah," dedahnya.


Selain itu, Mohd Azman memberitahu, enam suspek yang ditangkap mempunyai rekod lampau kes dadah.


Mengulas lanjut dadah yang dirampas, katanya, 46 paket jus ekstasi bernilai RM29,900, 150 biji pil erimin 5 bernilai RM2,250, 99 biji pil ekstasi bernilai RM1,485 dan 25.23 gram ketamin bernilai RM3,784.


"Jumlah kesemua dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 513 orang penagih dadah," jelasnya.


Katanya lagi, modus operandi, suspek mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan.


Tambahnya, bekalan dadah yang diperolehi akan dijual kepada pengunjung pusat hiburan mengikut permintaan.


Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis telah menyita wang tunai berjumlah RM3,425 dan sebuah kereta dianggarkan bernilai Rm40,000.00 di bawah Seksyen 25 ADB (perlucuthakan harta) 1988.


Tegasnya lagi, reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah telah dimohon yang mana dua suspek  yang disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 telah diluluskan oleh Majistret Kuching selama lima hari bermula 16 hingga 20 Jun 2022 dan disambungan reman dibenarkan mulai 21 hingga 27 Jun 2022. 


"Salah seorang suspek telah dituduh di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan telah dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin tempatan.


"Sementara 18 suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan patalogi, laporan kimia dan siasatan dilengkapkan," ujarnya.

Next Post Previous Post