Willie sahkan diri ada memohon sertai PBB


KUCHING—Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin mengakui dirinya ada memohon keahlian untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) baru-baru ini.


Memetik laporan Suara Sarawak, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi memberitahu, beliau telah menyerahkan permohonan kepada parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu beberapa bulan lalu.


Bagaimanapun, jelasnya, setakat ini beliau belum lagi menerima maklum balas daripada parti berkenaan.


“Ya benar, saya sudah mengemukakan permohonan untuk menyertai parti itu dan berharap mereka akan menerima permohonan saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Perkeso di Kampung Semandang, Jalan Puncak Borneo, di sini hari ini.


Pada masa sama Willie menjelaskan beliau hanya ‘diletakkan’ di bawah Bersatu bagi menyokong kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ketika itu.


Tegasnya, ia memandangkan pada masa itu, beliau tidak mempunyai parti selepas keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).


“Semasa kerajaan bertukar, saya tidak menyertai mana-mana parti tetapi saya tidak menafikan bahawa saya telah ‘diletakkan’ di bawah Bersatu agar dapat memberi jumlah yang cukup untuk menyokong kerajaan pada masa itu.


“Sekarang saya juga masih menyokong kerajaan dan saya berterima kasih di atas bantuan kerajaan sekarang yang telah membolehkan saya berkhidmat untuk rakyat dan membawa banyak kemajuan serta pembangunan di konstituensi saya,” katanya.


Justeru, Willie berharap beliau akan terus mendapat kepercayaan daripada Kerajaan Persekutuan dalam membawa kestabilan bukan sahaja di peringkat pusat tetapi juga kerajaan negeri.


Tegasnya lagi, hanya dengan kestabilan politik dan kerajaan yang stabil akan dapat membawa negara dan negeri terus bergerak maju.


“Saya berharap parti tempatan (PBB) yang telah saya kemukakan permohonan dapat mempertimbangkannya dan saya komited untuk bekerjasama bagi kebaikan pengundi di Puncak Borneo, rakyat Sarawak dan negara Malaysia,” ujarnya.


Untuk rekod, Willie memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan memperoleh 18,885 undi.


Beliau memperolehi majoriti 4,005 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Genot Sinel yang meraih 14,860 undi serta calon Aspirasi, Buln Ribos yang mendapat 795 undi.

Next Post Previous Post