Teguran ikhlas Lim Guan Eng selamatkan Sarawak daripada bankrap, Chong


KUCHING—Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen menyifatkan teguran bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah menyelamatkan Sarawak daripada bankrap.


Beliau menjelaskan, teguran Guan Eng yang menggunakan perkataan 'bankrap' didakwa menghentikan impian Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk meneruskan projek mega transit aliran ringan (LRT) tiga tahun lalu.


"Mungkin perkataan 'bankrap' yang digunakan oleh Lim Guan Eng yang akhirnya menghentikan impian Abang Johari untuk memiliki LRT dari Santubong ke Serian yang mana semua rakyat Sarawak dan generasi akan datang akan menanggung kos tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan berkata demikian bagi menjawab tuduhan ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang berhubung isu berkenaan.


Tambahnya, jika DAP tidak menentang cadangan projek LRT itu, ia sudah pasti akan diteruskan pelaksanaannya sekali gus menyaksikan Sarawak akan mengalami masalah kewangan. 


"Amat bertuah Premier menerima pandangan DAP ini untuk membatalkan cadangan projek LRT tersebut, jika tidak kedudukan kewangan negeri pasti akan terjejas," katanya lagi.


Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak itu memberitahu, projek LRT pertama kali dicadangkan oleh Abang Johari pada 2017 iaitu dari Santubong ke Kuching dan ke Serian. 


Ia merangkumi laluan sejauh 120 kilometer dan berdasarkan kos pembinaan laluan LRT Bandar Utama dan LRT Kelana Jaya, anggaran kos pembinaan bagi laluan LRT Santubong-Kuching-Serian adalah antara RM25 hingga RM30 bilion (tidak termasuk kos pengambilan tanah).


Kata Chong lagi, sekiranya Abang Johari meneruskan projek LRT itu, memandangkan harga bahan binaan kini meningkat lebih daripada dua kali ganda, kosnya akan melambung kepada anggaran RM50 bilion.


"Di samping kos pembinaan yang besar, terdapat berbilion-bilion ringgit perbelanjaan tahunan untuk penyelenggaraan dan operasi LRT," tegasnya.


Menurutnya, projek itu sahaja boleh menyebabkan rizab Sarawak sebanyak RM28 bilion habis.


Beliau memberitahu, pada 2019, selain projek LRT, Abang Johari juga mengumumkan untuk mengambil alih Maswing, yang dilihat akan menelan kos berbilion-bilion ringgit namun cadangan pengambilalihan itu ditangguhkan.


Justeru, katanya, bantahan keras oleh pihak pembangkang terhadap projek tersebut menyebabkan Abang Johari mengumumkan projek LRT tidak akan diteruskan dan digantikan dengan projek ART yang lebih murah.


"DAP tidak bersendirian dalam menyatakan trend membimbangkan siri pengumuman perbelanjaan berbilion-bilion ringgit Abang Johari yang mungkin memufliskan Negeri. 


"Malah, bekas Menteri Kewangan Sarawak, Dato Sri Wong Soon Koh pada 8 Mei 2020 telah mengatakan situasi kewangan Sarawak yang suram menuntut kajian semula bajet, projek perlu dilakukan," ujarnya.


Terdahulu, Lo menggesa Chong dan Guan Eng memohon maaf kepada rakyat Sarawak berhubung dakwaan bahawa Sarawak telah mengelak muflis apabila membatalkan projek transit aliran ringan (LRT) tiga tahun lalu yang disifatkannya tidak berasas.


Bahkan katanya, kredibiliti kepimpinan Premier Sarawak berjaya membuktikan tuduhan Lim Guan Eng sebelum ini bahawa Sarawak akan muflis dalam tempoh tiga tahun adalah keterlaluan dan bersifat retorik semata-mata.


"Pulau Pinang seingat saya hanya mempunyai kurang daripada RM2 bilion. Terowong dasar laut Pulau Pinang menelan kos RM6.3 bilion, manakala projek pembinaan Sistem Transit Aliran Automasi (ART) Sarawak dianggarkan bernilai RM6 bilion.  


"Berdasarkan analogi itu, Pulau Pinang yang satu ketika dahulu di bawah kepimpinan Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang harus bankrap dahulu dan bukannya Sarawak,” katanya pada sidang media di bilik media DUN di sini, hari ini.


Bagaimanapun kata Lo, Sarawak tidak pernah berada di ambang bangkrut kerana rizab negerinya yang besar malah dengan pengantian projek itu kepada projek ART dapat menjimatkan kos yang jauh lebih murah.


Sebelum ini, Guan Eng yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan telah menimbulkan kemarahan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Jun 2019 apabila beliau mendakwa Sarawak akan muflis dalam tempoh tiga tahun.


Sementara pada persidangan DUN Sarawak semalam, Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen  mempertahankan kenyataan Lim dengan mendakwa Sarawak tidak muflis kerana Kerajaan Sarawak telah membatalkan projek LRT yang menelan belanja berpuluh-puluh bilion ringgit.

Next Post Previous Post