Lo Khere Chiang gesa Chong Chieng Jen dan Lim Guan Eng memohon maaf kepada rakyat Sarawak


KUCHING—Sarawak mempunyai rizab besar iaitu sebanyak RM30 bilion dan masih mempunyai RM29 bilion sehingga hari ini meskipun selepas penularan pandemik Covid-19.


Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, IR Lo Khere Chiang berkata, dakwaan Chong Chieng Jen semalam bahawa Sarawak telah mengelak muflis apabila membatalkan projek transit aliran ringan (LRT) tiga tahun lalu tidak berasas.


Bahkan katanya, kredibiliti kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berjaya membuktikan tuduhan Lim Guan Eng sebelum ini bahawa Sarawak akan muflis dalam tempoh tiga tahun adalah keterlaluan dan bersifat retorik semata-mata.


"Pulau Pinang seingat saya hanya mempunyai kurang daripada RM2 bilion. Terowong dasar laut Pulau Pinang menelan kos RM6.3 bilion, manakala projek pembinaan Sistem Transit Aliran Automasi (ART) Sarawak dianggarkan bernilai RM6 bilion.  


"Berdasarkan analogi itu, Pulau Pinang yang satu ketika dahulu di bawah kepimpinan Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang harus bankrap dahulu dan bukannya Sarawak,” katanya pada sidang media di bilik media DUN di sini, hari ini.


Bagaimanapun kata Lo, Sarawak tidak pernah berada di ambang bangkrut kerana rizab negerinya yang besar malah dengan pengantian projek itu kepada projek ART dapat menjimatkan kos yang jauh lebih murah.


Sementara itu katanya, semasa Lim menjadi Menteri Kewangan dahulu, beberapa projek di Sarawak menelan belanja berjuta-juta ringgit telah dibatalkan namun Abang Johari telah menepati janjinya dengan meneruskan perlaksanaan projek berkenaan.


"Inilah usaha Anak Sarawak. Ya, kami tidak meneruskan dengan LRT, tetapi kami meneruskan dengan ART yang merupakan versi yang jauh lebih baik.


"Projek ini terdiri daripada beberapa fasa di mana fasa pertama melibatkan Laluan Samarahan meliputi jarak kira-kira 28 kilometer (km) dari Rembus ke pusat bandar, dan Laluan Serian (24km) dari Batu 12 Jalan Kuching-Serian ke Jalan Isthmus.  


"Projek ini sedang dalam peringkat awal dan dijangka beroperasi secara berperingkat sekitar tahun 2025 nanti," katanya.


Terdahulu, Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng telah menimbulkan kemarahan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Jun 2019 apabila beliau mendakwa Sarawak akan muflis dalam tempoh tiga tahun.


Sementara pada persidangan DUN Sarawak semalam, Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen  mempertahankan kenyataan Lim dengan mendakwa Sarawak tidak muflis kerana Kerajaan Sarawak telah membatalkan projek LRT yang menelan belanja berpuluh-puluh bilion ringgit.


Justeru beliau menggesa agar Chong dan Lim memohon maaf kepada rakyat Sarawak kerana bersikap biadab dan memandang rendah keupayaan Sarawak sebelum ini.


 "Lim Guan Eng dan DAP jelas tidak berminat dengan Sarawak. Malah dalam tempoh 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah, projek besar dan kecil telah dimansuhkan di Sarawak. 


"Janji-janji yang dibuat, termasuk pengiktirafan MA63, dengan mudah mereka ketepikan dengan alasan bahawa manifesto PH bukan bible. Begitulah sikap bongkak PH dan DAP," tegasnya.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.